Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan Lembaga Pengampunan
membabitkan hukuman penjara ke atas Datuk Seri Najib Razak adalah suatu perkara
muktamad yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri mengakui bahawa memang tanggungjawab beliau
membawa permohonan rayuan bekas Perdana Menteri itu ke Lembaga Pengampunan
namun keputusan hanya dibuat oleh baginda.
"Perlembagaan itu tetap Agong bertindak dalam kebanyakan
perkara atas nasihat PM, tetapi ada bidang (kuasa) dalam Perlembagaan di mana
wewenang budi bicara sepenuhnya adalah Yang di-Pertuan Agong dalam Perkara
42(1).
"Itu Agong harus putuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan
dan keputusan (baginda) muktamad. Pertimbangan besar bukan undang-undang, itu
proses badan kehakiman sehingga ke Mahkamah Persekutuan.
"Pertimbangan utama (Lembaga Pengampunan) ialah soal ihsan,
belas ihsan Agong sebagai mercu keihsanan, sama ada Agong pilih beri penjelasan
atau tidak, itu wewenang Tuanku," katanya.
Beliau berkata demikian dalam perjumpaan bulanan bersama
kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Dewan De' Seri Endon PUSPANITA PURI,
Putrajaya hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi dan Datuk Seri Fadhillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr
Mohd Na'im Mohktar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Perdana Menteri berkata Lembaga Pengampunan harus memberikan
pandangan berkaitan permohonan yang dikemukakan mana-mana tahanan berdasarkan
Peraturan 113 Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
Anwar berkata permohonan rayuan itu tidak semestinya hanya boleh
dibuat setelah minimum menjalani satu pertiga hukuman.
"Siapa saja kali pertama ikut prosesnya boleh mengemukakan
rayuan, dan kes ini bila rayuan diumumkan, benar Perdana Menteri memastikan
rayuan itu didengar. Jadi saya memang akui tanggungjawab itu.
"Tetapi mengapa Perdana Menteri ambil sikap untuk kemukakan
cadangan rayuan daripada Najib Razak begitu awal? Saya kata sebaik saya dapat
mana-mana rayuan, saya mohon supaya Lembaga Pengampunan bicarakan (bincangkan)
jadi agenda 10, 9, 1 atas usul, supaya diberikan pertimbangan oleh Lembaga
Pengampunan," ujar beliau.
Anwar berkata beliau telah hadir pada mesyuarat Lembaga
Pengampunan pertama pada 9 Disember tahun lalu ketika masih bertanggungjawab ke
atas Wilayah Persekutuan dan pada mesyurat berikutnya pada 29 Januari lalu
disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr
Zaliha Mustafa.