BESUT, 2 Februari 2024 - Seorang lelaki warga Myanmar cuba memperdaya pegawai penguatkuasa JIM Terengganu dengan mengemukakan kad pelarian UNHCR palsu ketika pemeriksaan untuk meloloskan diri gagal apabila semakan mendapati pemilik asal kad tersebut adalah seorang wanita. Dia kemudian mengaku telah mendapatkan kad palsu tersebut dengan harga RM150 dari seorang rakan di Johor Bahru. Lelaki itu kemudiaannya ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
Lelaki tersebut adalah antara PATI yang ditahan dalam operasi pemeriksaan Ops Belanja, Ops Sapu, dan Ops Kutip oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Terengganu di sekitar Daerah Besut, Terengganu pada 2 Februari 2024.
Seramai 25 orang pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan JIMNT telah menyerbu beberapa lokasi ‘hotspot’ yang dikenalpasti hasil risikan dan maklumat orang awam. Antara premis yang turut diperiksa adalah beberapa premis perniagaan dan tapak pembinaan yang disyaki menggajikan warga asing secara tidak sah di sekitar Bandar Jertih dan Kuala Besut.
Keseluruhannya seramai 154 individu telah diperiksa dan 24 orang ditahan yang terdiri daripada 8 lelaki warga Bangladesh, 5 lelaki warga Myanmar, 2 lelaki warga Pakistan, 4 lelaki warga Thailand serta 5 lelaki warga Indonesia. Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. JIM Terengganu turut menyita 3 buah motosikal yang telah diubahsuai untuk menjaja makanan tanpa kebenaran.
Pengarah Imigresen Negeri Terengganu; YBrs. Tuan Azhar bin Abd Hamid bersama Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Terengganu (Kawalan); YBrs. Tuan Mat Amin bin Hassan turut hadir meninjau pelaksanaan operasi ini.
Sekiranya anda mempunyai maklumat yang lengkap mengenai keberadaan PATI, aduan rasmi boleh disalurkan ke Bahagian Penguatkuasaan JIMNT melalui saluran-saluran berikut :
09-622 3425
enforce_trg@imi.gov.my
https://imi.spab.gov.my
Identiti anda DIRAHSIAKAN
#imigresen #terengganu #jim #kdnmadani #MalaysiaMadani #KDN_TogetherWeAreOne #KeselamatanTanggungjawabBersama
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu