Berikutan tindakan Anwar Ibrahim yang enggan menjawab pertanyaan media mengenai kejatuhan nilai ringgit yang paling rendah dalam tempoh 26 tahun, tetapi kemudian didapati dengan senang hati menerima pelawaan untuk menyanyikan lagu Azizah di sebuah acara di Melaka, akibatnya berdentam-dentum bak gegak gempita mercun datang hentaman yang menimpanya.
Sejak dua tiga hari lalu, terutama di TikTok, pelbagai bentuk serangan terlihat meriah menghenyak Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kewangan atas isu tersebut.
Di platform media sosial lain, termasuk beberapa podcast, masing-masing turut tidak melepaskan peluang melanyak lagi Anwar atas apa yang terjadi itu.
Hampir semuanya menyalahkan Anwar yang dianggap telah menunjukkan sikap tak sepatutnya dan langsung tidak resah atas kapasiti beliau selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan atas kejatuhan nilai ringgit yang sedang berlaku.
Selain mengelak soalan dan enggan menjawab soalan media, langkah susulan daripada segi rancangan mengatasinya atau setidak-tidaknya mengadakan mesyuarat, juga langsung tidak kedengaran.
Hakikatnya, dalam isu kejatuhan ringgit ini, tidak ada orang lain yang lebih layak dan paling sesuai memberi pandangan bagi pihak kerajaan, melainkan Anwar selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Tambahan lagi dalam konteks Anwar, kedua-dua jawatan berada di dalam rangkulannya.
Dalam semua keadaan itu, dapatan di media sosial jelas mendapati Anwar menerima serangan dan hentaman yang paling teruk sekali sejak beliau bergelar Perdana Menteri.
Persoalannya, di mana segala macam jentara komunikasi dan media pro kerajaan untuk mempertahanlan Anwar?
Sekurang-kurangnya ada dua kelompok komunikasi dan media yang sepatutnya berperanan mempertahan dan melndungi. Anwar dalam hal ini – satu di bawah Menteri Komunikasi dan satu lagi di bawah Unit Komunikasi dan Media PMO sendiri.
Kenapa hampir tiada ternampak usaha mempertahan dan melindungi Perdana Menteri?
Pernahkah kedua-dua kelompok berkenaan mengadakan mesyuarat dan perbincangan untuk membina naratif bagaimana Perdana Menteri harus dipertahan dan dilindungi?
J-Kom yang masih menunggu kehadiran Ketua Pengarah baru pun takkan goyang kaki saja melihat Perdana Menteri dibalun bertubi-tubi?
Atau semua mereka ini tak peduli dan tak kisah pun dengan serangan terhadap Anwar itu?
Ketika Najib Razak jadi Perdana Menteri dahulu, beliau diketahui memang mempunyai jentera media dan komunikasi yang besar, malah difahamkan pembiayaannya juga besar.
Namun, bersama kebangkitan rakyat dan isu-isu yang timbul ketika itu tidak ditepis dengan sebaik mungkin, Najib hilang kuasa akhirnya pada PRU14 lalu.
Selepas kekalahannya, dalam sebuah majlis, beliau secara terbuka menyebut, pasukan media maya yang bersamanya ketika beliau berkuasa dahulu hanyalah “menghabiskan beras” semata-mata.
Anwar baru menjadi Perdana Menteri selama 15 bulan dan sebelum apa yang berlaku kepada Najib itu menimpanya, elok jika beliau dapat segera menjerit kepada segala jentera media dan komunikasi yang ada di kelilingnya sepertimana beliau pernah menempik kepada pemimpin sebelum ini dalam isu kejatuhan ringgit – hang ni reti buat kerja atau tidak? – ShahbudinHusin 23/02/2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/02/23/mana-segala-macam-jentera-komunikasi-kerajaan-hang-ini-reti-jaga-pmx-atau-tidak.html