MAHKAMAH PUTUSKAN KELANTAN LAMPAUI KUASA, BUKAN MADANI LAWAN ISLAM’




 Pembangkang PN, khususnya Pas digesa menamatkan segera tohmahan kononnya Kerajaan Madani menekan undang undang syariah selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman dengan membatalkan beberapa perkara dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah (I) Kelantan 2019 hari ini kerana digubal di luar bidang kuasa negeri.

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, malangnya para pemimpin pembangkang memainkan isu tersebut sebagai keputusan yang menentang hukum syariah di Malaysia.

“Kenyataan Ketua Hakim Negara hari ini, keputusan cukup jelas, dia (petisyen) tak ada kena mengena dengan syariah, dia mengenai keputusan DUN (menggubal undang undang).

“Bulan depan, katakan DUN buat beberapa undang undang baru yang bercanggah dengan kuasa negeri dan Persekutuan maka dirujuk ke Mahkamah Persekutuan. Sekiranya bercanggah (mahkamah) akan membatalkan, dia tidak kira tajuk apa. Tajuk apa pun ada kuasa Persekutuan dan negeri.

“Kuasa Persekutuan memang banyak. Tetapi kalau masalah tanah, agama ini kuasa negeri. Jadi ada bidang kuasa masing masing.

“Apakah tidak diketahui oleh pemimpin pembangang? Mereka tahu, tetapi gunakan sentimen supaya orang Islam merasakan kerajaan pimpinan Anwar ini menentang syariah. Padahal tiada kena mengena. Undang undang (yang dicabar enakmen) negeri Kelantan, yang cabar orang Kelantan, kebetulan ahli Muafakat Nasional,” katanya dalam majlis perjumpaan bersama penjawat awam di MITC, Melaka petang tadi.

Tegas Anwar, alasan PM atau kabinet menentang syariah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan amat tersasar kerana Nik Elin yang mengemukakan petisyen itu melawan Kerajaan Kelantan, bukannya PM atau Kerajaan Malaysia.

“Dia cabar di Mahkamah Persekutuan, bukan kabinet, bukan PM. Dia nak tanya sama ada undang undang itu sah dari segi proses atau tidak? Mahkamah putuskan dari segi proses dan bidang kuasa, tidak betul.

“Apa dilakukan terdahulu oleh PN? Mereka tidak bantah. Ini (petisyen) berlaku semasa 2020 dan 2021, sekarang dijadikan bahan politik. Dulu tidak ada tindakan,” bidasnya.

Bagaimanapun, ujar PM, Kerajaan Persekutuan sedar wujud ketelanjuran di pihak Kerajaan Negeri dalam menggubal enakmen sebelum ini dan dengan itu Kerajaan Madani telah pun menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah untuk menilai perkara berkenaan.

“Untuk mengkaji di peringkat kebangsaan kita tubuh jawatankuasa tentang hukum syariah. Kabinet putuskan setuju, rujuk kepada Majlis Kemajuan Islam (MKI) dan Raja raja Melayu dan sekarang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, saya sebagai timbalan pengerusi.

“Apa peranan dia? Untuk memutuskan peranan dan meningkatkan peranan Mahkamah Syariah dalam negara,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu amat kesal dengan sikap pembangkang menggunakan politik fitnah untuk mencari pengaruh, termasuk pada minggu lalu apabila Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman ke atas bekas PM Najib Razak.

Katanya, pembangkang mempropagandakan PM dan Kabinet membuat keputusan tersebut, biar pun mereka sangat maklum keputusan memberi pengampunan adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

“Kabinet tidak pernah membincangkan (pengampunan), saya hanya melaporkan (ke Kabinet) minggu lalu setelah keputusan dibuat.

“Keputusan Lembaga Pengampunan didengar oleh Agong tetapi keputusan Agong itu muktamad berdasarkan Perkara 41 (2) Perlembagaan.

“Apakah orang (pembangkang) tidak tahu? Dia tahu tetapi dipolitikkan. Lebih bahaya seperti yang berlaku hari ini, buat perhimpunan di depan Mahkamah Persekutuan seolah olah kerajaan hari ini yang menentang syariah Islam,” katanya.

Penyokong Pas-PN pagi tadi membuat himpunan di hadapan Mahkamah Persekutuan dengan agenda mendakwa undang undang syariah ditekan di bawah Kerajaan Madani biar pun mereka maklum Perlembagaan menetapkan pemisahan kuasa Mahkamah Syariah dan Sivil.

Bermakna, undang undang yang telah sedia wujud di bawah Mahkamah Sivil tidak sewajarnya turut sama digubal hukuman di bawah Mahkamah Syariah.