HUBUNGAN HADI – MUHYIDDIN DINGIN?



DENGAN ANWAR DULU PUN MACAM TU JUGA- DIA NAK

 KUASA TAPI TAK NDAK JADI PEMIMPIN ATAU PM. SEBAB

 DIA TAHU DIA TAK MAMPU PUN PIMPIN NEGARA. DIA

 CUMA MAHU TUMPANG UNTUK KESENANGAN DIA.

 MISALNYA MAKAN GAJI BUTA DAN TAK BUAT KERJA. 



Shahbudin Husin


Hubungan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dan Presiden PAS, Hadi Awang, dikatakan dingin, menurut sumber, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kelangsungan Perikatan Nasional (PN) yang digagaskan oleh dua parti itu.

Sumber berkata hubungan dingin itu antara lain, berkait dengan kegagalan PAS menampilkan Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon perdana menteri, selepas Muhyiddin tidak meneruskan hasrat berundur pada pemilihan parti tahun ini.

Menurut sumber, pusingan U Muhyiddin dilihat sebagai tekad Ahli Parlimen Pagoh itu untuk kekal menerajui PN dan seterusnya dilantik perdana menteri kali kedua jika gabungan itu memenangi PRU16.

“Dikatakan selepas Muhyiddin (umum) berundur, PAS mahu Dr Sam (Ahmad Samsuri) sebagai calon PM, tetapi terbantut selepas pusingan U Muhyiddin,” kata sumber yang dekat dengan perkara itu kepada FMT.

Pada perhimpunan agung tahunan Bersatu, November lalu, bekas perdana menteri itu mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden parti, tetapi kurang 24 jam, mengubah pendirian selepas diyakinkan isterinya Noorainee Abdul Rahman, untuk “tidak mengecewakan ahli memerlukannya.”

Sumber itu berkata Muhyiddin dan Hadi yang juga timbalan pengerusi PN lama tidak kelihatan bersama di mana-mana majlis, kali terakhir ia berlaku pada perasmian Muktamar PAS ke-69 20 Okt lalu.

Pada PRK Kemaman Disember lalu, Muhyiddin dan Hadi dijadualkan berkongsi pentas pada ceramah kempen kemuncak, namun hanya kelibat Hadi hadir manakala Bersatu diwakili Naib Presiden Radzi Jidin.

“Mereka (Muhyiddin-Hadi) telah lama tidak bertemu,” kata sumber itu.

Menurut satu lagi sumber rapat PN, Hadi juga “sudah lama” tidak lagi hadir ke mesyuarat pimpinan PN, sebaliknya, diwakili Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Walaupun (ketidakhadirin Hadi) tidak mengganggu perjalanan komponen PN, namun ia memberi mesej mengenai hubungan mereka,” kata sumber itu.

Menurut beliau, keadaan itu mirip dengan situasi Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan Umno-PAS, apabila Hadi tidak lagi menghadiri mesyuarat, sebaliknya mewakilkan Tuan Ibrahim susulan hubungan yang semakin renggang antara dua parti itu.

MN ‘mati langkah’ apabila dua parti itu berbalah susulan keengganan Umno menerima penyertaan Bersatu dalam gagasan itu.

“MN mula ‘runtuh’ bila Hadi tidak lagi datang mesyuarat, semua wakil kepada Tuan Ibrahim. Beliau dan (presiden Umno) Zahid (Hamidi) pun dah lama tak jumpa waktu itu (menjelang penubuhan PN),” kata sumber itu.

Menurut beliau, sudah ada tanda-tanda keadaan itu kini berulang dalam konteks hubungan Hadi-Muhyiddin dan masa depan PN sendiri.

Jika PN berkubur seperti MN, sumber itu berkata hala tuju Hadi sememangnya boleh memberi kesan besar kepada politik dan pentadbiran pada masa depan dengan PAS memiliki kerusi Parlimen tertinggi iaitu 43 diikuti DAP dengan 40 kerusi.

“Sekarang tak tahu ke mana Hadi nak bawa (PAS) selepas makin renggang dengan PN.

“Bagi sekutu PMX (Anwar Ibrahim), ini peluang. Sebab itu ada titik lemah (dalam PN),” katanya.

Menurut sumber itu, kalangan dalam PAS juga melihat Bersatu semakin lemah dengan tindakan enam Ahli Parlimennya menyokong Anwar.

Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Untuk rekod, PAS mempunyai 43 kerusi Parlimen pada PRU15, berbanding 30 oleh Bersatu.

PAS juga mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu selain merampas Perlis yang sekian lama menjadi kubu kuat BN.

Selain PAS dan Bersatu, PN turut dianggotai Gerakan yang gagal menang sebarang kerusi Parlimen pada PRU 15 namun meraih satu kerusi DUN di Kedah pada PRN Ogos lalu.

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/02/01/hubungan-hadi-muhyiddin-di