Greatech: PM lawat rahsia tersembunyi teknologi tinggi Pulau Pinang




 Rakyat Malaysia mungkin melihat keluar negara apabila membicarakan mengenai teknologi tinggi terkini seperti bateri kereta elektrik (EV), Kecerdasan Buatan (AI) atau pun panel suria.



Namun menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, banyak komponen berteknologi tinggi itu sebenarnya dibuat atau dikilangkan di Malaysia.



Hal itu, katanya didedahkan kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan beliau ke kawasan perindustrian Greatech, Pulau Pinang semalam.



"Petang semalam saya menemani PM Anwar Ibrahim melakukan lawatan ke Greatec, salah satu permata tersembunyi dalam industri teknologi tinggi global. Ia kini merupakan kisah Unicorn dan kejayaan industri teknologi tinggi Malaysia.




Sim Tze Tzin (kiri) turut menyertai lawatan PM



"Mereka menghasilkan mesin penting untuk mengeluarkan produk berteknologi tinggi seperti bateri EV, panel solar dan papan Kepintaran Buatan. Mereka mereka-bentuk dan membina mesin untuk syarikat teknologi tinggi terkemuka global.



"PM amat berminat dengan bateri EV dan cermin mata Augmented Reality. Dia bertanya banyak soalan mengenainya.



"Greatech berada di barisan hadapan revolusi teknologi AI, AR, EV dan teknologi hijau. PM kagum kerana semua reka bentuk dan pengeluaran mesin dilakukan oleh 100 peratus jurutera tempatan Malaysia, Melayu, Cina, India," katanya dalam kenyataan hari ini.



Sehubungan itu, Tze Tzin berpendapat industri berteknologi tinggi akan memacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan selagi Malaysia berupaya menyediakan tenaga kerja berskil tinggi.



Beliau yang juga Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN berharap agar kerajaan memberi dorongan luar biasa kepada generasi muda untuk mengambil subjek kemahiran industri di sekolah, agar tenaga kerja terlatih yang diperlukan pasaran sentiasa mencukupi.



"Golongan muda harus mengambil mata pelajaran STEM kerana masa depan pekerjaan adalah dalam sektor teknologi tinggi ini dan Malaysia mampu (menjadi pemain penting) dalam industri teknologi tinggi global.



"Saya berasa sangat bangga, saya percaya PM juga merasakan perkara yang sama," katanya lagi.



Dalam lawatan semalam, PM turut melancarkan satu lagi kawasan perindustrian iaitu Projek Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP3) di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).



Tapak projek BKIP3 merupakan taman perindustrian dengan keluasan 622.61 ekar di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan. Ia dijangka menempatkan 54% (339 ekar) kawasan industri, 11% (67.6 ekar) hub logistik, 6% (37.04 ekar) kawasan komersil, 1% (8.4 ekar) asrama pekerja; dan 27% (170.17 ekar) infrastruktur utama.



Fasa Pertama akan disiapkan pada hujung tahun 2025. Manakala fasa terakhir dijadualkan untuk disempurnakan pada hujung tahun 2031. Kos keseluruhan projek dianggarkan berjumlah sebanyak RM2.2 bilion.