ANWAR YANG DIKEJAR JANJI



Semalam, Anwar Ibrahim berkata, adalah tidak adil untuk menyerangnya sekarang berhubung kenyataan mahu menurunkan harga minyak yang pernah dibuatnya 20 tahun lalu.


Ini kerana kata beliau, kenyataan ketika itu dibuat dalam keadaan yang tidak sama dengan sekarang.


“Masa saya umum dulu ‘hari ini jadi Perdana Menteri, esok harga minyak turun’, harga minyak di Arab Saudi mungkin sekitar RM0.50. Harga kita dah sekitar RM1.50.


“Jadi saya kata kita keluarkan minyak. Sekarang kos keluaran dah bertambah.


“Nak gunakan kenyataan saya 20 tahun yang lalu, tidak adil,” kata Perdana Menteri lagi.


Sebenarnya, selain janji menurunkan harga minyak yang popular itu, Anwar juga pernah berjanji untuk menurunkan tarif letrik dengan cara memanggil tauke-tauke IPP (penjana letrik bebas) dan meminta mereka mengurangkan keuntungan serta menghapuskan monopoli beras yang dikuasai oleh Bernas.


Paling menarik, beliau turut pernah berjanji untuk menurunkan harga barang-barang keperluan pengguna selepas kemenangan PH pada PRU tahun 2018.


Lebih kurang ayat ucapan Anwar ialah beliau tidak mampu menurunkan harga barang ketika era PH kerana dirinya waktu itu tidak duduk sebagai Perdana Menteri.


Dalam semua janji-janji itu dilafazkan, gambaran yang cuba Anwar berikan ialah hanya melalui kuasa Perdana Menteri saja barulah beliau mampu melakukan apa saja perubahan untuk rakyat.


Keyakinan rakyat pula, oleh kerana beliau pernah berada dalam kerajaan sebelum itu dengan jawatan tertinggi sebagai Timbalan Perdana Menteri, maka sudah tentulah apabila sudah menjadi Perdana Menteri nanti, semua janji itu mudah saja untuk dijjadikan kenyataan.


Inilah yang merupakan sebab utama Anwar disokong dan dinanti-nantikan menjadi Perdana Menteri.


Dan sebab utama janji-janji lama itu diputar semula tidak lain ialah untuk mengingatkan Anwar agar tidak lupa kepada janji-janji yang pernah dibuatnya itu.


Meskipun Anwar seperti menolak untuk menunaikan janji menurunkan harga minyak melalui kenyataannya semalam itu, tetapi bagaimana dengan janji-janji yang lain?


Mahu ditolak jugakah dah misalnya, sudahkah tauke IPP dipanggil ke pejabatnya untuk diarah menerima keuntungan yang kurang?


Anwar ini barangkali satu-satunya pemimpin yang berada dalam penantian yang cukup lama untuk menjadi Perdana Menteri – lebih 25 tahun lamanya.


Sudah tentu dalam tempoh yang panjang itu, banyak janji dan kata-kata manis pernah diucapkannya.


Tetapi, kalau pun semasa bercinta dahulu, seorang bakal suami itu pernah berjanji untuk membelikan kereta Mercedes atau BMW kepada bakal isterinya, setelah berumahtangga, meski banyak komitmen lain perlu dipenuhi, takkan sebiji Myvi tak mampu dibelikan?


Maka itu, dalam konteks janji ‘hari ini jadi Perdana Menteri, esok turun harga minyak’, menurunkan paling minimum 5 sen seliter takkan tak mampu juga?


Begitu juga dengan yang lain-lain, oleh kerana ia adalah janji yang sah yang diucapkan Anwar dalam kapasiti beliau sebagai ‘calon Perdana Menteri’, tidak kira berapa lama ia dilafazkan, mahu tidak mahu, beliau masih terlekat tanggungjawab daripada segi moral untuk menunaikannya.


Tentulah amat sukar untuk Anwar mendapat sokongan rakyat semula pada PRU16 akan datang jika ‘sebiji habuk’ pun janji-janji itu tidak mampu dilaksanakannya, kecualilah jika pasukan media dan komunikasi kerajaan di bawah Fahmi Fadzil dan PMO mampu mencipta naratif ajaib untuk mengekalkan populariti boss mereka.


Selain janji-janji secara peribadi yang diucapkan Anwar dalam tempoh pengejaran cita-citanya menduduki kerusi Perdana Menteri, beliau juga terikat dengan satu lagi janji iaitu janji mereformasi institusi dalam negara ini.


Janji reformasi itu sebahagiannya besar tertulis dalam manifesto pilihan raya PH yang antaranya ialah had penggal untuk Perdana Menteri, perlindungan pemberi maklumat dipertingkatkan, semakan semula terhadap Akta Hasutan 1948, SPRM diletakkan di bawah Parlimen, pemisahan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwaraya dan banyak lagi.


Dalam hal tuntutan tersebut, Bersih dilaporkan akan mengadakan demonstrasi menuju ke Parlimen esok (Selasa) untuk menyerahkan memorandum agar kerajaan tidak lupa kepada janji-janjinya itu.


Kesimpulannya, episod Anwar mengejar kerusi Perdana Menteri sudah dikira berakhir, tetapi yang bakal terbentang luas di hadapannya selepas ini ialah janji-janji lama yang akan sentiasa mengejarnya ke mana saja beliau pergi. – ShahbudinHusin 26/02/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/02/26/anwar-yang-dikejar-janji.html