SPRM telah mendapat keizinan daripada Jabatan
Peguam Negara untuk mendakwa bekas menteri kewangan Daim Zainuddin di mahkamah
di bawah Akta SPRM sejak minggu lalu, menurut Azam Baki.
Bagaimanapun, ketua pesuruhjaya SPRM berkata
mereka masih belum dapat meneruskan pendakwaan kerana Daim berada di hospital
atas sebab kesihatan yang tidak dinyatakan.
Bercakap kepada Malaysiakini, Azam
meluahkan kekecewaannya terhadap doktor yang merawat Daim yang didakwa gagal
berterus-terang dengan pegawai penyiasat SPRM mengenai mengapa bekas menteri
itu dianggap tidak mampu untuk hadir di mahkamah.
“Izin nak dakwa tu dah dapat seminggu lebih
dah. Dan lepas dapat izin mendakwa tu kita maklum peguam dia nak bawa ke
mahkamah.
“Kita (kemudiannya) dimaklumkan
dia(Daim) dimasukkan ke sebuah hospital(swasta).
“Kita buat observation (pemerhatian)dan
mendapat maklumat bahawa dia masuk hospital sebelum kita dapat izin mendakwa
lagi.
“Itu betul la. Tetapi (apabila) kita bertanya
doktor bila dia boleh keluar hospital, doktor pun tak nak bagijawapan yang
betul,” kata Azam.
Menurut Azam, Daim dijangka berdepan dengan
sekurang-kurangnya satu pertuduhan kerana gagal mengisytiharkan beberapa
hartanah yang dimiliki bersama isterinya.
Katanya, pilihan terakhir buat SPRM adalah
membawa seorang hakim ke hospital yang menempatkan Daim supaya pertuduhan dapat
dibacakan.
“Tapi itu bukan pilihan kami yang sebenarnya.
Kalau tak masuk hospital minggu lalu kita dah tuduh dah.
“Kita dah berhubungan dengan peguamnya,”
katanya lagi.
Semalam, isteri bekas menteri kewangan itu,
Na’imah Abdul Khalid, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,
atas tuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan asetnya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM
2009 dan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga RM100,000,
jika didapati bersalah.
Na’imah didakwa melakukan kesalahan itu
dengan memberikan akuan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi notis SPRM di
bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM.
Bagaimanapun, Na’imah, 66, mengaku tidak
bersalah sejurus tuduhan dikemukakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan
sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak
mematuhi terma notis bertarikh 8 Nov 2023 yang dihantar kepada beliau oleh
pegawai SPRM berpangkat pesuruhjaya pada 14 Nov 2023 iaitu dengan tidak
mengisytiharkan harta.
Harta-harta tersebut adalah Menara Ilham, dua
syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd, dua kenderaan mewah
jenama Mercedes Benz, sebuah rumah di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di
Bukit Tunku dan satu lot tanah masing-masing di Pulau Pinang dan Taman Tun Dr
Ismail, di Kuala Lumpur.
Na’imah berdepan hukuman penjara maksimum lima
tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Sumber –
https://m.malaysiakini.com/news/694143