Perebutan jawatan dalam kerajaan negeri Selangor antara UMNO dengan PH nampaknya masih belum selesai.
Setelah sekian lama kecoh tidak setuju dan tiada penyelesaian, minggu lalu dikhabarkan UMNO akhirnya setuju menerima 20 lantikan ahli majlis dalam PBT di negeri itu.
Kekecohan berlaku disebabkan meski UMNO hanya menang dua kerusi saja dalam PRN Selangor baru-baru ini, tetapi parti itu mahu lebih kerusi dalam PBT, bukan setakat 20 jawatan saja.
Itulah yang menjadi punca sehingga berbulan-bulan lantikan dalam PBT di Selangor gagal dilaksanakan.
Dalam hal ini, siapa pun yang berada di tempat PH yang sudah menjadi kerajaan di Selangor sejak 2008 lagi tentu saja tidak setuju dengan tuntutan UMNO itu.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, kononnya sebagai jalan tengah penyelesaian, UMNO Selangor membuat ketetapan menolak sepenuhnya 20 lantikan ahli majlis dalam PBT itu.
Sebaliknya, UMNO Selangor mahu sebanyak 373 jawatan dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri itu diserahkan kepada mereka sepenuhnya.
Megat Zulkarnain Omardin dipetik sebagai berkata, keputusan itu membuktikan UMNO Selangor tidak tamak jawatan sebagaimana dakwaan yang didakwa banyak pihak.
“Keputusan sudah dicapai, kita serah semula semua jawatan ahli majlis yang telah ditawarkan kepada UMNO untuk diisi PH kerana kita menghormati parti itu yang menguasai kawasan bandar.
“Kita mahu PH menjaga bandar dan UMNO menjaga kawasan kampung,” katanya lagi.
Apa kata Megat Zulkarnain itu boleh ditonton di sini –
Ehhh…biar bebenor ni Megat?
Macam mana beliau boleh tafsirkan UMNO sebagai tidak tamak hanya kerana sanggup menyerahkan 20 lantikan ahli majlis PBT, tetapi menuntut semua 373 dalam JPPK?
Menolak 20, namun meminta 373 itu sebenarnya bukan saja tamak, bahkan sangat sangat sangat tamak.
Lainlah kalau tolak 373, tapi hanya minta 20 jawatan saja?
Atau pun, sementara menolak 20 jawatan ahli majlis PBT, sesuai dengan hanya dua kerusi Dun saja dimenangi parti itu, UMNO juga sedia menyerahkan sebahagian besar jawatan dalam JPPK kepada PH.
Jika itu dilakukan, barulah namanya tidak tamak dan memahami persahabatan.
Tolak jumlah yang kecil, di waktu yang sama menuntut jumlah yang lebih besar, ini benar-benar persahabatan yang tidak masuk akal.
Jarang dibuat orang jenis persahabatan seperti ini.
Lagi pula, dengan menuntut semua 373 jawatan itu, takkan UMNO mahu membolot dan menguasai semua JPPK di Selangor?
Logikkah dengan dua kerusi Dun saja mampu dimenangi, tiba-tiba mahu bolot menjaga semua kawasan luar bandar di Selangor?
Kalau UMNO mahu membolot semua JPPK di Selangor, bagaimana dengan PKR dan Amanah yang menang banyak kerusi Dun?
Apakah peranan PKR dan Amanah mahu diketepikan begitu saja dari segi kepentingannya di kampung-kampung Melayu di Selangor?
Megat Oh Megat…belajar-belajarlah tengok cermin!!! – ShahbudinHusin 21/01/2024