SECARA PRINSIPNYA, WAKIL RAKYAT YANG MAHU BERBEZA PENDIRIAN DENGAN PARTI, MEMANG WAJIB LETAK JAWATAN


Berikutan seorang demi seorang Ahli Parlimen blok pembangkang tampil secara terbuka memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan, tetapi dalam masa yang sama tidak keluar daripada parti yang dianggotai, moral mereka yang berbuat demikian semakin diperdebatkan.


Sepatutnya dengan adanya akta lompat parti dan surat perjanjian yang ditandatangani sebelum bertanding dahulu, disertai mereka yang terpilih untuk bertanding itu sendiri adalah manusia terpilih dan terbaik di antara yang baik-baik, soal ingin mengalih sokongan selepas menang amat tidak wajar berlaku lagi.


Sebagai usaha tambahan mengelakkan perkara yang sama terus berlaku, nampaknya kini semua parti tiada pilihan lain melainkan perlu meminda perlembagaan masing-masing pula.


Keadaan ini semacam memperlihatkan manusia-manusia politik ini “lebih ganas daripada haiwan buas” sehingga semua undang-undang, akta, peraturan dan hukuman perlu dikenakan untuk mengawal mereka.


Bagaimana rakyat mahu hormat kepada pemimpin dan wakil rakyat kalau kekuatan pendirian mereka sendiri tidak lebih senipis kulit bawang?


Tambahan pula yang memenangkan mereka sehingga dipilih sebagai Ahli Parlimen adalah parti, guna wang dan jentera parti, bukan melalui kekuatan peribadi mereka yang berkenaan.


Kalau bertanding atas nama sendiri, jangan sembang kencanglah, tak hilang deposit sudah cukup baik, tetapi kalah memang dalam tangan.


Dengan itu, mereka yang terpilih sebagai Ahli Parlimen atau wakil rakyat seharusnya ada rasa setia dan akur kepada parti selama mereka bergelar Yang Berhormat.


Jika tidak setuju lagi dengan parti dan ingin bersama kelompok lain, langkah paling bertanggungjawab dan terpuji ialah meletakkan jawatan dan serahkan kembali mandat kepada pengundi membuat pilihan semula.


Mengalih sokongan semata-mata kerana ada kelompongan dalam akta lompat parti, kemudian masih mahu kekal dalam parti yang dikhianati, atas alasan apa sekali pun, ia adalah tindakan paling tidak bertanggungjawab dan wajib dikutuk.


Selepas itu, apabila didesak meletak jawatan, mereka mencabar pula agar parti memecat mereka.


Tak ke gila semua ini?


Hakikatnya semua orang sedar dan faham tindakan mencabar agar dipecat itu ialah agar mereka tidak perlu mengosongkan kerusi dan boleh terus kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga habis penggal melalui tindakan pecat itu.


Kiranya betul-betul bertanggungjawab, ada hati dan perasaan serta masih tebal rasa malu dalam diri, letak sajalah jawatan dan tak perlu minta parti memecat mereka.


Tak malu ke ambil gaji dan elaun sebagai Ahli Parlimen, sedangkan jawatan yang diperolehi itu dimenangkan oleh parti?


Selain itu, parti yang membentuk kerajaan juga, walaupun kehadiran Ahli Parlimen yang ingin mengalih sokongan itu bererti menambahkan lagi kekuatan, tetapi makna dari segi moralnya langsung tiada.


Rakyat sedikit pun tidak hormat dengan kehsdiran mereka, apa lagi kalau selepas itu diberi jawatan tertentu.


Mereka hadir memberi sokongan bukan dengan hati yang ikhlas atau yakin dengan perjuangan parti yang berjaya membentuk kerajaan, sebaliknya hanya kerana inginkan peruntukan.


Jika tiada peruntukan, mereka pun tak sudi nak datang.


Tambahan lagi jika hadirnya Ahli Parlimen blok pembangkang yang tampil memberi sokongan itu dalam keadaan parti kerajaan sendiri sudah ada majoriti yang kukuh untuk kekal bertahan sehingga habis penggal.


Tanpa mereka pun tak mengapa sebenarnya, sebaliknya mereka itu yang tidak boleh hidup tanpa berdekat dengan kerajaan. – ShahbudinHusin 30/01/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/01/30/secara-prinsipnya-wakil-rakyat-yang-mahu-berbeza-pendirian-dengan-parti-memang-wajib-letak-jawatan.html