“Mesra dan cakna kesejahteraan rakyat” itulah
keperibadian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah.
Berkongsi pengalaman sebagai antara individu
yang begitu dekat dengan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku
Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bekas Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara
Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata istilah ‘raja dan rakyat berpisah
tiada’ jelas terserlah sepanjang tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah.
“Selama tempoh pemerintahan, itulah baginda
(yang sebenar). Itu adalah sifat semula jadi baginda, sebagai Sultan Pahang,
baginda yang akan turun untuk sama-sama membantu rakyat, khususnya ketika
berlaku malapetaka seperti banjir, kebakaran bahkan kemalangan.
“Apabila berlaku banjir khususnya di Pahang,
Tuanku akan turun untuk bersama-sama dengan rakyat bagi mengharunginya. Malah,
Tuanku juga akan meminta bantuan dari luar untuk menggantikan rumah-rumah
(rakyat) yang telah rosak,” katanya ketika ditemui Bernama.
Mengimbau kembali momen ketika Al-Sultan
Abdullah sanggup menghentikan kenderaan untuk membantu mangsa kemalangan jalan
raya, Ahmad Fadil yang kini bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Emiriah
Arab Bersatu (UAE) menyifatkan Seri Paduka Baginda sangat prihatin akan
kesejahteraan rakyat.
“Kadang-kadang Tuanku akan membawa kenderaan
sendiri, dan apabila terlihat ada kemalangan jalan raya, Tuanku akan
berhentikan kenderaan untuk pastikan mangsa kemalangan itu dibawa ke hospital
dan Seri Paduka Baginda akan menanggung kos rawatan yang diperlukan.
“Untuk makluman, Tuanku juga tidak ambil elaun
sebagai Yang di-Pertuan Agong sehingga sekarang dan elaun-elaun baginda
termasuk Raja Permaisuri Agong dihalakan kepada (yang memerlukan).. ketika itu
Tabung Covid-19, tetapi ia tidak diuar-uarkan, itu antara Seri Paduka Baginda,
Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri,” katanya.
Menceritakan pengalaman mencabar berdepan
penularan wabak Covid-19, beliau berkata Al-Sultan Abdullah sangat bimbang akan
keselamatan dan kesihatan rakyat pada ketika itu, memandangkan wabak berkenaan
pertama kali berlaku dalam negara.
Katanya, Seri Paduka Baginda banyak mendengar
taklimat daripada Ketua Pengarah Kesihatan ketika itu Tan Sri Dr Noor Hisham
Abdullah, Kementerian Kesihatan dan ahli-ahli profesional lain, setiap minggu
tanpa gagal, bagi mencari solusi terbaik dalam memastikan kesejahteraan rakyat
kekal terjamin.
“Malah, semasa Covid-19 merebak dan petugas
Istana Negara ada yang mula menunjukkan simptom jangkitan virus itu, baginda
begitu bimbang dan ambil berat akan kesihatan kami.
“Ternyata, bahawa apa yang ditunjukkan oleh
Tuanku Agong perlu diteladan oleh rakyat iaitu dalam aspek mematuhi prosedur
operasi standard (SOP). Tuanku Agong juga berulang kali mengingatkan rakyat
untuk mematuhi SOP bagi melindungi diri daripada jangkitan,” katanya.
Di sebalik karakter Al-Sultan Abdullah yang
begitu dekat dengan rakyat, baginda juga seorang ketua negara berkaliber dalam
memacu sektor ekonomi dan pentadbiran negara di persada antarabangsa.
Ahmad Fadil berkata baginda berperanan besar
dalam mengeratkan hubungan Malaysia di pentas antarabangsa dan ini jelas
dibuktikan, antaranya apabila Al-Sultan Abdullah berupaya mengeratkan hubungan
antara Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
“Ini ternyata pada 5 hingga 6 Okt lepas Datuk
Seri Anwar Ibrahim telah melakukan lawatan (ke UAE), dan berupaya mendapatkan
pelaburan ekonomi yang baik daripada di UAE, dan mereka (pelabur) bersetuju
melabur kira-kira RM40 billion di Malaysia.
Sumber – Bernama.