Timbul
isu dari kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa orang
Melayu akan lenyap dalam masa 10 tahun jika tidak bersatu.
Namun
hal itu dibidas oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang melihat keadaan orang
Melayu hari ini lebih baik berbanding era Tun Mahathir memerintah selama 22
tahun, dari 1981 hingga 2003.
Kata
Rafizi, golongan menengah Melayu pada waktu ini telah semakin membesar dan
untuk mengatasi cabaran ekonomi masa hadapan kaum itu, mereka mestilah memahami
cabaran persaingan ekonomi yang diakibatkan dari globalisasi.
"Pandangan
saya, ada perkara-perkara yang wajar memberi lebih keyakinan kepada kita bahawa
keadaannya tidaklah seperti yang digambarkan Tun Mahathir.
"Contohnya,
orang Melayu kini membentuk kelas pertengahan (middle class) yang besar
dalam negara kita berbanding 50 tahun dahulu.
"Kejayaan
membina kelas pertengahan dan kelas profesional yang besar ini adalah bukti
orang Melayu berkemampuan menaiki mobiliti sosial melalui pelaburan kerajaan
dalam pendidikan," katanya.
Hal
itu amat berbeza dengan kenyataan Mahathir kononnya kaum Melayu di negara ini
bakal lenyap jika keadaan tidak berubah, mereka dikatakan akan ditawan bangsa
lain tanpa melalui peperangan.
Menurut
Rafizi, dalam konteks “Melayu Akan Hilang” yang dibawa Mahathir keadaannya
bergantung kepada keterhubungan ekonomi akibat globalisasi dan sejauh mana kaum
Melayu mampu melepasinya, bukan sangat ancaman kaum lain di Malaysia.
"Pesaing
sebenar ialah produk dan perkhidmatan dari serantau dan luar negara yang
memasuki pasaran kita kerana lebih murah atau lebih berteknologi tinggi.
"Selain
itu faktor skala operasi dan capaian pasaran dunia menjadi faktor penentu
kemampanan sesebuah perniagaan, termasuklah syarikat-syarikat berkaitan
kerajaan yang banyak diterajui oleh kelas menengah Melayu," ujarnya.
Tambah
Rafizi, idea Mahathir melahirkan hartawan Melayu dengan campur tangan kerajaan
pada 1990an lalu sebaliknya telah gagal selepas diuji dengan krisis kewangan
Asia tahun 1997 dan 1998 yang menyaksikan golongan korporat serta 'hartawan
segera' itu tumbang satu demi satu.
"Kita
juga tahu kesan sampingan dari doktrin mencampur aduk kuasa politik dan
korporat yang dibawa oleh Mahathir ini.
"Tata
kelola bercampur aduk apabila sektor ekonomi utama boleh diberikan kepada
individu tertentu yang perlu menyumbang wang untuk membantu ahli-ahli dan
parti-parti politik (sebagai balasan)," katanya lagi.