Projek tebuk atap sudah jadi endemik
MENJOLAK MENTARI
Anwar angkat sumpah sebagai PM ke-10. |
DIAWAL projek untuk menumbangkan kerajaan Perpaduan dan
sekaligus membuang Anwar dari kerusi nombor satu negara frasa ketiga saya
ditanya seorang kawan, "Sheikh ada apa berlaku di PMO?" Saya
tidak segera menyedari apakah maksud pertanyaan itu. Bahawa kawan itu telah
mendengar riak risik akan bakal berlaku kegemparan, dimana kerajaan akan
tumbang dan Anwar Ibrahim akan tercabut dari kerusi perdana menteri.
Melalui risikan dan
sumber-sumber diperolehinya, konon Anwar akan dijatuhkan dan kerajaan akan
bertukar dalam masa terdekat. Tampaknya pertanyaan kawan saya itu menyakinkan
dan bersemangat sekali. Mungkin dia seronok kalau Anwar tumbang kerana
sebab-sebab tertentu.
Saya menjawab pertanyaan
kawan saya itu ringkas sahaja, dengan berkata saya tidak ada apa apa maklumat
tentang PMO. Betul saya tidak ada apa-apa maklumat. Dan kalau apa yang hendak
diceritakan itu itu bersabit (memburukkan) Anwar, saya tidak minat. Saya tidak
sama sekali lagi menjadi nangka yang masak tetapi busuk.
Lantas kawan itu kemudian
mengucapkan terima kasih dan seakan tidak senang dengan reaksi saya itu.
Mungkin dia menganggap saya naif terhadap apa yang beliau tahu dan ingin beri
tahu itu, maklumlah akhir-akhir ini saya menghadkan pergerakan untuk mengendap
aksi politik negara. Dan tua dah...
Beberapa jam selepas itu,
atau keesokan hari ini, baru saya dapat menangkap apa yang dimaksudkan kawan
itu, bahawa ada maklumat diketahuinya mengenai gerakan untuk jatuhkan Anwar
yang dipanggil Langkah Dubai sedang beraksi. Berita Langkah
Dubai pun keluar bertalu-talu macam guruh di langit dan bersambung dari mulut
ke mulut, dari mulut manis sampai ke mulut rabit ia berceceran.
Ia menjadi kencang dan meresahkan
semua orang apabila para citro ashabul khafi yang baru bangkit dari mengingau
memainkan peranannya menyebarkan isu berkenaan, menuba dan meracuni minda
rakyat. Mereka jaja dan laung lelong isu berkenaan kepada umum dari kedai kopi
hingga ke surau dan sekolah. Para ashabul khafi ini dengan berani dan yakin
sampai menyebutkan akan saat dan jam kejatuhan itu. Ada yang menyebut angka dan
jumlahnya sekali. Ada yang membuat laporan langsung kononnya pintu istana sudah
dibuka untuk upacara mengangkat sumpah perdana menteri baru.
Dalam medsos riuh randah
dengan para pemerhati penyokong politik di semua puak membuat tanggapan
masing-masing. Jumlah penganalisa politik pun bertambah dengan tiba-tiba
mengikut kecenderongan masing-masing. Yang seronok dan percaya dengan berita
itu bergembira, bertepuk tangan dan meloncat-loncat macam kera kena belacan,
ada yang sampai tercabut kain pelikat dan nampak batu peli*. Ada yang sudah
sembelih ayam dan kerbau untuk kenduri kesyukuran hadirnya perdana menteri
baru.
Manakala yang sayang
kerajaan dan masih belum puas melihat Anwar jadi perdana menteri ikut tersasau
dan terkesal dengan berita itu. Sedih dan kecewa. Sudah ada yang tidak makan
dan tidak minum bimbang mengenangkan berita itu.
Setengahnya tak nak
bercakap dengan isteri atau suami kerana memikirkan nasib kerajaan dan nasib
Anwar, walaupun sejak jadi PM ini Anwar tidak pun memikirkan nasib mereka.
Almaklumlah berdekad mereka memperjuangkan untuk menobatkan Anwar sebagai PM
tiba-tiba jatuh begitu sahaja. Siapa tidak hiba dan kecewa.
Saya juga tidak terlepas
turut dihujani pertanyaan daripada berbagai orang, dari penyokong biasa, ahli
parti sampai ke penyokong berprotokol bertaraf bekas menteri. Cuma yang tidak
bertanya tentang itu kepada saya ialah lembu, kerbau, biawak, monyet dan beruk
sahaja. Kalau digolongkan makhluk orang (politis) hampir semua bertanya ingin
mengetahui kedudukannya.
Mungkin bagi mereka
(haiwan), apa perlu dan pentingnya mereka mempedulikan kepada maklumat yang
disampaikan oleh para "citro ashabul khafi" itu. Mereka tidak kisah
siapa yang jadi kerajaan, apakah ia ulama atau umarak. Apakah ia seorang
teknokrat ataupun keparat. Lagipun cerita dibawa citro ashabul khafi daripada
orang yang tidak tidak boleh dipercaya kerana ia bersemabur dengan igau dan
mimpi.
Sesungguhnya haiwan
mempunyai sense atau naluri yang tinggi tentang sesuatu.
Monyet, kerbau, beruk kera, musang, tenggiling dan sebagainya tidak bercakap
tentang sesuatu yang tidak jelas, berupa popagada atau karut marut dan khayal.
Mereka adalah makhluk realitas.
Hal itu Quran pun ada
menyebut, haiwan itu adakalanya lebih baik nilai daripada manusia.
Saya bukan mereka
(binatang), tetapi justeru saya tidak mengambil pot sangat pun dengan berita
dan laporan untuk jatuhkan kerajaan itu. Saya banyak menggunakan logikal dengan
melihat kepada data dan fakta dari menggunakan khayalan, apa lagi menerima
maklumat daripada yang tidak berwibawa, wartawan yang tidak beretika. Kita
perlu menggunakan akal untuk mempertimbangkan sesuatu berdasarkan pengalaman,
sejarah dan pengamatan logikal.
Namun saya tidak dapat
mencuci tangan sebegitu saja. Selepas dihujani pertanyaan dan kemusykilan
adalah saya menerangkan akan kedudukan maklumat berkenaan, tetang kesahihan
cerita hendak jatuhkan kerajaan itu menerusi platform Tiktok. Ada tiga konten
yang saya buat menafikan laporan berkenaan. Saya memberi tahu dan bercerita,
apa yang saya tahu dan menekankan apa yang diledakkan itu hanya cerita yang
direkayasakan.
Namun penjelasan itu
bukan senang untuk berhenti keriuhan perkara itu kerana para pelarisnya terlalu
ramai dan lebih ghairah. Keriuhan itu lalu menjadi-jadi lagi, dan
menggelisahkan mereka yang mudah berdebar (lemah jantung) apabila Timbalan
Pengarah J-Kom Ismail Yusof membuat kenyataan mengulas hal itu
dengan menggesa kerajaan bertindak ke atas para penyebarnya atas alasan ia
boleh menganggu kententeraman awam.
Kenyataan Ismail itu
sebagai mengesahkan gerakan itu kerana ia datang dari agensi rasmi
kerajaan.
Tidak cukup kenyataan
Ismail itu, cerita mengenai gerakan itu ditambah garam pula oleh Timbalan
Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan dia ada maklumat
awal-awal lagi tentang rancangan Langkah Dubai itu. Kononya sebelum penggerak
projek itu ke Dubai beliau sudah mendapat maklumat. Biasa sihir politik Zahid
dapat tahu awal tetapi kekurangan tenaga untuk menghentikannya?
Dan menjadi tambah
menggelisahkan dan berita karut itu terus merodok perasaan mereka yang lemah
jantung dan saraf tunjang apabila Anwar Ibrahim seorang oritor
yang pantang tengok microphon ikut sama mengomen mengenai berita karut itu.
Kelemahan Anwar tentang satu ini pantang dengar gendang politik akan terus
menari sesuatu yang menggusarkan juga.
Saya tetap diam dan
senyum dalam rasa muak dengan apa yang berlaku. Entah kenapa hati saya sedikit
pun tidak terusik dengan maklumat tentang gerakan itu. Mungkin jiwa saya sudah
tepu dengan kejijikan dan kekolotan politik Malaysia ini. Sudah biasa
sangat dengan segala macam propagada, pyswar atau pre-empt dimainkan
dalam dunia politik.
Dan kerana sudah muak dan
loya dengan projek hendak jatuhkan kerajaan itu, saya tidak mahu bercerita
panjang mengenainya disini. Apa yang hendak disimpulkan cerita itu itu begini
sahaja. Projek tebuk atap atau nak guling kerajaan ini adalah projek mereka
yang berdendam, dengki dan berotak sewel.
Mereka yang tidak
mempedulikan soal negara dan rakyat dan hanya memikirkan soal kuasa dan
kepentingan diri sendiri. Projek mereka yang kehausan kuasa. Mereka seperti nyamuk
tiruk yang kekeringan darah dalam tubuh akan mengejar apa sahaja untuk
kebutuhan mereka. Kalau bangkai boleh memenuhi keperluan mereka bangkai pun
mereka hentam.
Jika kita mengidentifykan
mereka satu persatu kita akan kenal siapa mereka dan kenapa mereka jadi
sedemikian. Mereka yang menjadi kepala kepada gerakan itu dan menyokong gerakan
itu bertindak menjadi pemuda ashabul khafi adalah mereka yang ada masalah
peribadi dengan Anwar. Mereka yang bergaduh dengan Anwar keseorangan tanpa pun
Anwar mengetahuinya. Mereka mengharap simpati dan perhatian dari perdana
menteri, tetapi tidak berjaya.
Sisi lain propaganda itu
menakutkan juga kerana mengenangkan peristiwa tahun 2020 dahulu apabila
tumbangnya kerajaan PH apabila ia dikudeta menerusi pengkhianatan Langkah
Sheraton. Langkah Sheraton tidak berhenti disitu sahaja apabila berlaku pula
kejatuhan atau pertukaran PM yang kedua apabila Mahiaddin "terkanyal"
dari kerusinya diganti dengan Ismail Sabri Yaakob.
Kejatuhan Mahiaddin
dilihat sangat mudah, dari puncak terus ke bawah pangkal tanpa terhalang
halang. Ibarat jatuhnya buah mangga dari atas puncak ke bawah tanpa tersangkut
atau tertimpa di mana-mana dahan dan ranting. Kejatuhan laju dan diluar
dugaan.
Jadi peristiwa yang
menimpa ke atas Mahathir dan Mahiaddin itu menjadi trauma kepada rakyat negara,
khasnya golongan politik. Kejadian itu membayangi mereka menyebabkan terfikir
ia akan menimpa ke atas Anwar pula. Itulah menyebabkan berita karut marut yang
dijajah oleh tujuh citro ashabul khafi itu mudah menjadi racun dan sempat
membingitkan negara.
Namun kepada yang tebal iman dan pengetahun politiknya, tidak takut
dengan berita dan kejadian itu. Kedudukan Anwar sebagai PM sebenarnya
telah dkunci oleh Yang diPertuan Agong. Al Sultan Abdulah telah menitihkan dengan
berharap sebelum baginda berangkat pulang ke Pahang setelah tamat tempoh
berkhidmat lima tahun, tidak akan ada PM baru lagi. Ertinya Anwar akan kekal
menjadi PM, dan tidak boleh diganggu gugat sehingga akhir Januari. Beliau
dijamin oleh istana.
Kalau orang
memegang dan memahami maknawi kata-kata dan harapan Al Sultan Abdulah itu tidak
perlu risau dan gusar dengan kedudukan Anwar. Tidak perlu mudah terusik dan
percaya dengan cerita-cerita rekayasa, hantu pucung dan toyol yang dibuat dalam
media sosial. Apa lagi bagi mereka yang waras dapat menilai pencapaian
dan kejayaan Anwar sebagai PM dalam tempoh setahun ini, yang membanggakan,
tidak akan terfikir dengan cerita khayal itu sebaliknya akan menangkis apa saja
maklumat memburukkan kerajaan apa lagi mengenai kerajaan akan jatuh.
Kerja untuk menjatuhkan
Anwar sudah pun reda. Tanpa mengaku kalah pihak yang membencinya sebenar sudah
pun tewas dan gagal. Namun mereka tidak akan berhenti dari terus membawa lagu
lama itu. Lagu-lagu klasik ini asyik juga didengar sesekali sekala
sebagai hiburan. Macam jubah terkena najis kucing walaupun dibersih baunya
tetap ada.
Mereka tidak akan pernah
padam cita-cita dan harapan. Mereka perlu menumbangkan kerajaan Perpaduan yang
menakankan kepada soal tatakelola ini bukan untuk kepentingan rakyat tetapi
menyelamatkan diri mereka. Itu rahsia kenapa mereka bersungguh hendak lenyapkan
kerajaan hari ini.
Mereka perlu berbuat
begitu kerana tidak ditahan diserang dengan bayangan ketakutan. Kerajaan Madani
ini akan memburu mereka dan sesiapa bersalah. Kerana itu mereka yang tidak ada
apa-apa kesalahan mendukung dan menyokong penuh kerajaan dan Anwar.
Ditegaskan usaha atau
projek tebuk atap kini sudah jadi endemik. Projek ini macam Covid-19 dahululah
mula-mula bukan main kita takut dan gerun mengenai wabak itu. Ke mana-mana kita
pergi pakai mask dan waspada. Bukan itu sahaja kita dikenakan PKP tidak boleh
keluar rumah.
Sampai dunia menjadi
gelap gulita. Sampai segala kegiatan seharian turut terhenti kerana gara-gara
takutkan Covid. Sekarang apa berlaku, apa jadi dengan Covid? Apakah Covid sudah
hilang, tidak. Covid tetap ada ia sudah jadi endemik, sudah jadi wabak biasa
macam Denggi. Kita tidak perlu takut lagi dan boleh bergerak ke mana-mana
sahaja. Kita lupa kepada mask, kepada sanitizer, dan juga lupa kepada timbunan
mayat akibat Covid. Kita sudah kalih dengannya.
Nah, begitu juga dengan
projek orang gila dan sewel tebuk atap ini ia sudah jadi endemik. Walaupun
syaitan dan iblis yang terlibat dengan gerakan projek itu masih ada, masih
galak, tetapi mereka sudah lemah, sudah letih, ada yang terperap di hospital
kecapekan. Apapun wajar kalau kerajaan terus melakukan imunisasi ke atas rakyat
untuk menyelamatkan mereka dari terkesan dengan wabak projek tebuk atap yang
tidak kesudahan ini selagi orang-orang sinting dan ising masih bernyawa. [wm.kl.
8:34 am 08/01/2024]
Glossori
Kanjal = terpecat,
tercabut, tertanggal