Hari ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan
Negara (MPN) Bilangan 1 tahun ini yang membincangkan mengenai strategi dan hala
tuju bagi meningkatkan pelaburan dalam negara.
Mesyuarat memutuskan bahawa pelaburan hijau (green investments)
adalah antara bidang yang berpotensi untuk negara dan perlu dipertingkatkan.
Dalam hubungan ini, Kerajaan akan membangunkan kerangka dasar beserta pelan
khusus bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi dan hab pelaburan hijau utama
serantau. Ini juga merupakan kesinambungan pelbagai inisiatif di bawah Pelan
Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk menggerakkan pelaburan ke dalam
sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.
Terkait dengan penekanan terhadap pelaburan hijau, diputuskan
juga bagi menjenamakan projek Kerajaan Persekutuan yang diumumkan di dalam
Belanjawan 2024 iaitu Kerian Integrated Industrial Park, sebagai Kerian
Integrated Green Industrial Park. Ianya diharap akan menjadi pencetus kepada
peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui secara sepenuhnya oleh
industri-industri yang bakal dibangunkan di taman perindustrian tersebut.
Mesyuarat juga membincangkan kepentingan industri semikonduktor
yang menyumbang kepada 7.1% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
Sehubungan itu, diputuskan penubuhan National Semiconductor Strategic Task
Force (NSSTF) sebagai satu platform khusus untuk membangunkan ekosistem
semikonduktor dan menarik pelaburan strategik dalam sektor ini.
Kesemua usaha ini adalah langkah-langkah dalam memastikan
pelaksanaan pelaburan ke dalam negara akan mencapai objektif Ekonomi MADANI,
termasuk meletakkan Malaysia pada kedudukan 30 teratas dari segi ekonomi
terbesar dunia, dan 12 teratas dari segi daya saing global dalam tempoh 10
tahun.