PM, Kabinet hadir pemukiman mantap kerjasama, tentu halatuju



 

Oleh: Helmi Mohd Foad



Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 31 anggota Jemaah Menteri hari ini menghadiri program pemukiman kerajaan Madani 2024 di Cyberjaya bagi memantapkan halatuju pentadbirannya.



Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan berkata, program yang akan berakhir esok itu turut membawa matlamat untuk memantapkan kerjasama antara Jemaah Menteri dan kepimpinan perkhidmatan awam.



Menurutnya, program itu turut memperkuatkan iltizam dalam melaksanakan pelan-pelan tindakan bagi merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani.



"Program ini dilaksanakan selaras hasrat Perdana Menteri untuk menyampaikan mandat kepada semua anggota Jemaah Menteri dan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam tentang hala tuju dan strategi kerajaan bagi tahun 2024 serta bagi jangka masa sederhana dan panjang," kata kenyataan itu hari ini.



Pemukiman yang berlangsung hingga esok dihadiri 31 anggota Kabinet dan 15 orang jemputan khas.



Kata kenyataan itu, pemukiman tersebut juga bertujuan mencapai penjajaran matlamat serta mewujudkan rasa kebersamaan dalam kalangan anggota Jemaah Menteri terhadap pelan tindakan bersepadu kerajaan berteraskan konsep ‘whole of government dan whole of nation'.



Kenyataan itu berkata program selama dua hari ini membawa beberapa sesi wacana dan forum yang melibatkan pakar-pakar dari sektor awam, sektor swasta, industri dan organisasi antarabangsa.



Antara perkara-perkara yang dibincangkan mencakupi aspek-aspek penting termasuk cabaran dan hala tuju ekonomi; kebajikan dan keselamatan sosial; pembangunan infrastruktur dan kemampanan; tadbir urus, inovasi dan komunikasi ke arah kemakmuran negara.



Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba pukul 2.42 petang tadi disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.



Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.



Sebelum ini, Anwar memaklumkan, permukiman itu bagi meneliti pelaksanaan dasar-dasar yang telah dilancarkan kerajaan sepanjang tahun lepas.