PENDAPATAN BERTANI MODEN LEBIH TINGGI DARI GAJI MEDIAN NASIONAL

 

Rafizi Ramli




PENDAPATAN BERTANI MODEN LEBIH TINGGI DARI GAJI MEDIAN NASIONAL


Hari ini (28 Januari 2024), YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan melawat ke tapak IPR INTAN Tanjung Rambutan, yang kebetulannya berada di dalam Parlimen Tambun. Ini adalah kali pertama PMX melawat tapak IPR INTAN.


Sejak dilancarkan, program basmi kemiskinan melalui pendekatan IPR sering menjadi bahan sindiran segelintir masyarakat.


Ada yang berkata ia bukan baru. Ada yang perlekeh vending machine. Ada yang seolah-olah mahu melihatnya gagal.


Bagi setiap program kerajaan yang ambil pendekatan baru, memang risiko gagal atau terbengkalai itu ada. Apatah lagi yang melibatkan pembasmian kemiskinan dan aktiviti pertanian.


Saya cuba memahami kenapa beberapa projek pertanian yang melibatkan peserta berpendapatan rendah tidak berjaya seperti yang dirancang sebelum ini.


Ada beberapa punca utama.


Pertama, risiko operasi iaitu apabila tanaman diserang penyakit dan mutu tuaian tidak baik.


Kedua, risiko pasaran apabila harga tidak menentu.


Yang membawa kepada risiko ketiga, iaitu hasil yang dijana tidak dapat menampung kos buruh/masa, kos baja dan operasi.


Kesemua ini mendorong risiko terakhir, iaitu peserta cepat berputus asa. Akhirnya segala bantuan (modal, polybag untuk menanam, baja dan lain-lain) ditinggalkan selepas satu musim (atau belum pun satu musim).


Pendekatan IPR INTAN yang melihat satu tapak pertanian sebagai satu “kilang” cuba menyelesaikan semua risiko ini.


Peserta menjadi pekerja yang menguruskan plot yang telah dibangunkan dengan kaedah pertanian moden dan diberi latihan. Kalau mereka putus asa awal, akan ada peserta baru yang masuk untuk menyambung, seperti pekerja kilang baru mengganti yang telah berhenti.


Kontrak jualan telah diikat dengan pembeli pada harga tertentu, supaya peserta tidak perlu menjual sendiri hasil. Kos operasi telah dimasukkan di dalam keseluruhan perancangan kewangan, bukannya diberikan dalam bentuk modal dan baja kepada peserta. 


Peserta diberi jaminan menerima sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan setiap kali pusingan tanaman, dengan elaun RM600 sebulan dalam 2-3 bulan pertama sebelum boleh dituai.


Semua ini nampak cantik atas kertas. Buktinya hanya diketahui apabila satu pusingan tuaian berjaya.


Jadi saya pun berdebar sebelum ini, sama ada “formula” ini betul-betul boleh berjaya.


Selepas beberapa tapak IPR INTAN sudah mula dituai, saya suka berkongsi bahawa pendapatan bulanan purata yang dijana peserta jauh lebih tinggi dari sasaran minimum RM2,000 sebulan.


Saya kongsikan penyata pendapatan sampel tujuh orang peserta IPR INTAN di Putrajaya. Nama mereka telah dipadamkan.


Ini adalah pendapatan selepas tuaian pusingan pertama setakat Januari 2024 (mula tanam September 2023, mula tuai pertengahan Disember 2023):


Peserta 1 (44 tahun) - RM23,413

Peserta 2 (44 tahun) - RM21,917

Peserta 3 (21 tahun) - RM17,458

Peserta 4 (41 tahun) - RM18,266

Peserta 5 (23 tahun) - RM15,189

Peserta 6 (68 tahun) - RM11,990)

Peserta 7 (61 tahun) - RM18,266


Maknanya, julat tambahan pendapatan bulanan yang dijana bagi setiap kitaran 4 bulan ialah antara RM3,000 (paling rendah) ke RM5,800 (paling tinggi). 


Kerajaan tidak memberi modal tunai atau baja/perkakas seperti sebelum ini. Kerajaan sediakan tapak pertanian moden (dari tanah kerajaan) yang telah dilengkapi sistem pengairan dan pembajaan moden. Tugas peserta ialah membentuk unit kelompok yang dibimbing oleh pasukan teknikal pertanian moden.


Gaji median pekerja formal (bergaji bulanan) negara adalah RM2,600 (yang meliputi sebahagian besar pemegang diploma dan ijazah).


Pendapatan tambahan hasil pertanian moden IPR INTAN, yang paling rendah (di tapak Putrajaya) adalah RM3,000 sebulan, iaitu lebih tinggi dari gaji median nasional.


Formula pertanian moden untuk membasmi kemiskinan telah berjaya dibuktikan di beberapa tapak di seluruh negara. Amanah saya ialah meluaskan IPR INTAN di seluruh negara dengan segera.


Sasaran kami ialah mewujudkan peluang ini kepada 20,000 peserta di seluruh negara menjelang akhir 2025. 


Ini bersamaan dengan peluang pekerjaan yang diwujudkan dengan membina 200 data centres (yang memerlukan pelaburan beratus bilion kerana kilang moden tidak menggunakan ramai pekerja).


Barulah berbaloi kena kecam jika rakyat dapat melihat sendiri tapak-tapak pertanian moden ini tumbuh bagai cendawan di seluruh negara.