Ziarah Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim baru baru ini
ke Institut Jantung Negara (IJN) yang dilaporkan cuba melawat Presiden Pas, Hj
Hadi Awang di situ tetapi dikatakan baru selesai menjalani rawatan dialisis dan
menolak bertemu dijadikan bahan sendaan penyokong parti Pas.
Bagi Ahli Jawatankuasa Jabatan Pemantapan dan Pemahaman Agama
KEADILAN, Syed Mohd Nazli Syed Ahmad Jamalullail, beliau berasa pelik dengan
akhlak yang ditunjukkan oleh para 'pejuang Islam' Pas kerana tiada salahnya
lawatan PM untuk bertemu Hj Hadi ketika beliau melawat sahabat lamanya, Prof
Ziauddin Sardar di IJN.
Syed Mohd Nazli Syed Ahmad Jamalullail (kiri)
Menurut Syed Mohd Nazli, melawat orang sakit adalah amal mulia dan
sunah Rasulullah tidak kira sama ada berjaya
bertemu pesakit atau pun tidak.
"Pelik melihat kutukan ramai penyokong Pas terhadap Perdana
Menteri yang menziarahi Presiden Pas di Institut Jantung Negara baru baru ini.
"Kita semua maklum bahawa menziarahi orang sakit adalah
ajaran agama Islam dan PM telah mempraktikkan ajaran agama Islam berkaitan
anjuran menziarahi orang sakit
"Sesuatu yang sangat pelik, dalam masa yang sama kita melihat
banyak kutukan dan seranah terhadap orang yang mengamalkan ajaran agama, dan
banyak yang kita lihat mengutuk itu adalah pendokong dan penyokong parti yang
dikatakan membawa ajaran Islam sebagai dasar perjuangan," katanya.
Beliau turut mengingatkan hadis Rasulullah yang mafhumnya, “Hak muslim ke atas muslim enam perkara: Dikatakan
(sahabat bertanya): Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW berkata:
Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam ke atasnya.
Apabila kamu diundang maka penuhilah. jika Apabila dia meminta
nasihat kepadamu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila bersin, maka
ucapkanlah hamdalah serta balaslah (dengan doa: يرحمك الله). Apabila dia sakit,
maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal, maka hantarlah jenazahnya ke
kubur.” [Riwayat Muslim (2162)]
Oleh itu, kata beliau, tiada salahnya tindakan PM. Seharusnya
sikap baik PM itu tidak dipolitikkan sama ada beliau bertemu atau tidak Hj Hadi
yang mahu dilawatinya.
Terdahulu, laskar siber pro pembangkang cuba menggambarkan lawatan
PM tersebut ditolak oleh Presiden Pas, sedangkan tujuan lawatan Anwar bukan
sahaja bertemu Hj Hadi tetapi menziarahi mantan pemikir dan penasihat beliau
ketika menjawat Timbalan Perdana Menteri tiga dekad lampau, Prof Ziauddin
Sardar.