KENYATAAN MEDIA
JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA
PANGSAPURI SERI CEMPAKA RAWANG DISERBU IMIGRESEN
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menahan seramai 106 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu Tindakan Operasi Penguatkuasaan pada 06 Januari 2024. Operasi ini dijalankan pada jam 12.30 pagi di Pangsapuri Seri Cempaka, Rawang.
Operasi ini telah dijayakan dengan kekuatan seramai 309 orang pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Khidmat Ekspatriat, Bahagian Khidmat Pengurusan, Bahagian Keselamatan dan Pasport, Bahagian Dasar Dan Perancangan Strategik, Bahagian Integriti, Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Bahagian Pengurusan Depot dan Tahanan, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya dan turut dibantu oleh pegawai dari JIM WP Kuala Lumpur, JIM Melaka, JIM KLIA, JIM Negeri Sembilan bersama 12 orang pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan 10 orang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Dalam operasi ini seramai 468 orang telah diperiksa dan hasilnya seramai 106 orang PATI yang berumur di antara enam bulan hingga 49 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan. Mereka yang ditahan adalah terdiri daripada warganegara Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Pakistan.
Lokasi serbuan yang berada di luar bandar ini adalah agak mencabar kerana laluan masuk kawasan perumahan terhalang dengan kenderaan yang parkir secara tidak teratur menyukarkan kenderaan operasi masuk ke sasaran. Terdapat 8 blok lima tingkat bangunan pangsapuri kos rendah terdiri dari 80 sehingga 100 unit rumah bagi setiap blok.
Antara yang diperiksa juga adalah 174 lelaki, 79 perempuan, 27 kanak-kanak lelaki, 20 kanak-kanak perempuan dan selebihnya adalah warga negara tempatan. Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung PATI yang disyaki tinggal di kawasan perumahan tersebut tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.
Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
JAFRI BIN EMBOK TAHA
TIMBALAN KETUA PENGARAH IMIGRESEN (OPERASI)
JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA