Hari ini adalah hari terakhir di mana semua anggota Jemaah Menteri dan pegawai tertinggi Kerajaan telah berkumpul dan menekuni pelbagai isu yang wujud dalam aspek penyampaian perkhidmatan. Tujuan permukiman ini adalah antara lain bagi menyemak semula pelbagai ‘hindrance’ yang melambatkan urusan Kerajaan selain turut mendengar pandangan dan kritikan dari pelbagai pihak termasuk pihak swasta, ilmuwan, penyelidik serta pakar pakar dari dalam dan luar negara.
Kami di pihak Kerajaan bersikap terbuka mengakui kelemahan yang ada dan bersedia menilai beberapa pendekatan bagi memungkinkan khidmat yang lebih baik dan bermutu kepada rakyat selain memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan hebat serta memaknai nurani negara yang madani.
Beberapa sektor pelaburan yang berdampak tinggi diberi perhatian khusus, seperti yang dicerakinkan di dalam Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang diluncurkan tahun lalu. Lapangan Kecerdasan Buatan atau AI, peralihan tenaga, ekonomi digital antara yang ditekuni dalam sesi permukiman kali ini.
Tantangan dari sudut ekonomi serta bagaimana untuk memampannya turut dibincangkan secara terperinci agar aspek pelaksanaan kebijakan Kerajaan tidak terganggu dan matlamat mensejahterakan rakyat dan negara dapat digapai sebaiknya.
#MalaysiaMADANI