Menurut laporan yang belum
dapat dipastikan kesahihannya, nasib Najib Razak sama ada kekal berada di
penjara atau dibebaskan akan diketahui sebelum hujung bulan ini.
Semalam, Channel News Asia atau CNA melaporan, Lembaga
Pengampunan akan mengadakan mesyuaratnya pada minggu ketiga bulan Januari ini.
Kata laporan itu lagi, permohonan pengampunan Najib akan
dibincangkan dalam mesyuarat tersebut dan bekas Perdana Menteri itu mungkin
akan diberi pengampunan, seterusnya dibebaskan dari penjara.
Bagaimanapun, peguam Najib, Shafee Abdullah menolak laporan CNA
itu atas sandaran mereka tidak pernah dimaklumkan mengenainya.
“Kami sebagai peguam Najib tidak pernah dimaklumkan berkenaan
tarikh mesyuarat Lembaga Pengampunan atau (jika ada) berkaitan permohonan
pengampunan anak guam kami.
“Maka kami jadi tergamam bagaimana CNA telah membuat spekulasi
dengan berita tidak berasas ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan
Agong, dengan anggota lainnya ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Peguam Negara
serta tiga lagi yang dilantik Agong.
Sebagaimana diketahui umum, Najib sebelum ini telah mengemukakan
permohonan pengampunan berkaitan sabitan bersalah yang beliau kini sedang
menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah dana
SRC International berjumlah RM42 juta.
Berikutan laporan CNA itu, meskipun isu menjatuhkan kerajaan
masih diperbualkan, tetapi sejak semalam lebih ramai yang berminat untuk
berspekulasi mengenai nasib Najib.
Ada peluangkah Najib untuk dibebaskan?
Sebahagian besar merasakan anak sulung Tun Razak itu mempunyai
peluang cerah untuk dibebaskan, manakala segelintir yang lain masih menanggapi
peluangnya adalah 50-50.
Ada pula yang mengakui mereka turut bermimpi berjumpa Najib
dalam keadaan ceria dan tersenyum pada malam sebelum berita CNA dilaporkan
media tempatan.
Barangkali secara kebetulan, serentak dengan penularan berita mengenai laporan
CNA itu, semalam juga Agong telah berkenan merasmikan Menara Merdeka 118 yang
pembinaannya diilhamkan oleh Najib ketika beliau memegang jawatan Perdana
Menteri.
Menara canggih milik PNB itu mempunyai 118 tingkat dengan
ketinggian 678.9 meter dan ia adalah bangunan kedua tertinggi di dunia selepas
Burj Khalifa di Dubai (828 meter).
Sebelum ini, Shanghai Tower dengan ketingggian 632 meter adalah
menara kedua tertinggi di dunia.
Selain itu, Menara TRX, satu lagi ilham daripada Najib juga
telah dibuka kepada orang ramai dan kini menjadi satu lagi pusat membeli belah
bertaraf dunia yang sedang menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negara.
Dalam hal ini, saya sendiri banyak ditanya mengenai kedudukan Najib – jika
benar – Lembaga Pengampunan akan bermesyuarat sebelum hujung bulan ini.
Sebenarnya sukar meramalkan sama ada Najib akan dibebaskan atau
kekal berada di penjara, cuma insting saya kuat mengatakan, jika beliau bebas,
beliaulah yang akan menjadi Perdana Menteri ke-11 selepas ini.
Yang lain-lain yang masih memburu dan berangan-angan untuk
kerusi itu, kalau Najib ada di luar, boleh terus bermimpi sajalah. –
ShahbudinHusin 11/01/2024.