Oleh: Abdullah Zaid
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad menyifatkan
‘Langkah Dubai’ yang digerakan pembangkang PN merupakan bukti bahawa gabungan
itu tidak memahami falsafah demokrasi negara.
Kata Khalid yang juga mantan Ahli Parlimen Shah Alam, cubaan blok
Perikatan Nasional (PN) berterusan melakukan komplot pintu belakang itu hanya
memperlihatkan mereka galak berpolitik tetapi tidak berminat membangunkan
negara.
"Dalam sistem demokrasi apabila dipilih dan dibentuk
kerajaan, maka kerajaan dan pembangkang perlu bekerjasama membangunkan negara
dan bukan hanya mencari ruang menjatuhkan kerajaan," katanya sinis dalam
dalam siri forum ‘Takde Skrip: Langkah Kelaut’ terbitan Media Perpaduan, malam
tadi.
Tambah Khalid, dalam cubaan Langkah Dubai merampas Putrajaya, Pas
kelihatan sebagai parti paling terdesak untuk menjadi kerajaan.
Jelasnya, Pas pada ketika ini mempunyai paling ramai Ahli Parlimen
dalam blok pembangkang tetapi sanggup menawarkan pihak lain untuk menjadi
Perdana Menteri.
Hal itu, katanya, menunjukkan sikap sebenar Pas yang terdesak mahu
menjadi kerajaan.
"Dalam soal ini saya nampak Pas paling terdesak. Kerusi MP
ramai tapi dia sanggup beri pada pihak lain untuk jadi PM asalkan dia dapat
jadi kerajaan.
"Langkah Dubai ini kononnya nak beri GPS jadi PM. (Tapi)
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg kata buang masa.
"Langkah pertama ialah kamu (Pas) sokong dia (Abang Jo). Bila
dah bentuk kerajaan, bila-bila masa kalau kamu nak tukar, (kamu boleh lakukan)
kerana kamu ada jumlah kerusi yang banyak.
"Tetapi inilah kita nampak Pas paling terdesak, nak sangat
jadi kerajaan sampai sanggup beri pada sesiapa sahaja jadi PM asalkan Kerajaan
Perpaduan dapat dijatuhkan," ujarnya lagi.