Kerajaan Persekutuan akan
mengadakan mesyuarat bersama kerajaan negeri Johor bagi menyelaras beberapa
dasar untuk memastikan pembentukan Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura (JS-SEZ)
dapat dipercepatkan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil
berkata mesyuarat itu yang akan diadakan dalam masa terdekat yang dikendalikan
oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri
(MITI).
"Dalam mesyuarat Kabinet
hari ini juga telah dibincangkan perkara antara lain mengenai pembentukan Zon
Ekonomi Khas Johor-Singapura.
"Kerajaan Pusat akan
menyelaras beberapa perkara bersama dengan kerajaan negeri Johor dan beberapa
mesyuarat akan dimulakan dalam masa terdekat yang akan dikendalikan oleh
Kementerian Ekonomi dan MITI," ujarnya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat
Kabinet di Putrajaya hari ini.
Fahmi yang juga jurucakap
Kerajaan Perpaduan bagaimanapun menjelaskan, Kabinet tidak membincangkan secara
spesifik berkenaan lokasi yang akan ditentukan sebagai JS-SEZ.
"Tiada maklumat khusus
yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet. Ia lebih kepada menetapkan dasar
yang akan diatur dan diselaraskan oleh semua kementerian," katanya.
Awal bulan ini, Malaysia dan
Singapura menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) JS-SEZ dalam usaha
mengukuhkan jalinan ekonomi antara kedua-dua negara.
Dalam MoU itu, Malaysia dan
Singapura akan berusaha untuk memudahkan urusan keluar masuk sempadan sekali
gus menambah baik ekosistem dan kerjasama ekonomi.
Kedua-dua negara juga bersetuju
untuk bekerja bersama dalam perjanjian JS-SEZ itu dan juga Pemukiman Pemimpin
Malaysia-Singapura Ke-11 yang akan diadakan kelak.
Susulan MoU itu juga, Malaysia
telah membuat keputusan menubuhkan sebuah agensi pemeriksaan sempadan tunggal
di pintu masuk negara bagi memudahkan aliran keluar masuk antara Johor dan
Singapura.
Hari ini Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Datuk Seri Hazani Ghazali
dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA)
yang pertama berkuat kuasa hari ini.