INI BARU BETUL WALK THE TALK, ISTERI PM SENDIRI HANYA AKAN AMBIL SATU SAJA DARIPADA TIGA PENCEN

 

Bakal calon bertanding dalam sesebuah pilihan raya selepas ini harus menerima kenyataan bahawa mereka tidak ditawarkan skim pencen, sekiranya berjaya dipilih sebagai wakil rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kedudukan untuk dipilih sebagai wakil rakyat adalah pilihan sendiri dan bagi mereka yang tidak berminat berikutan ketiadaan skim berkenaan, maka tidak dipaksa meneruskan hasrat bertanding pilihan raya.

Saya tak bersetuju dengan pandangan bahawa orang politik kita perlu dikecualikan (dari skim pencen). Maknanya yang akan jadi calon pilihan raya akan datang harus terima kenyataan bahawa skim mereka tak termasuk pencen.

“Kalau dengan sebab ini (tiada skim pencen) tak setuju jadi calon, baik ia okay. Kalau kata menteri pun tak hendak jadi (sebab tiada pencen), itu pilihan kita. Tetapi seperti biasa kita akan bincang mengenainya secara lebih terperinci dalam Jawatankuasa Persaraan sebelum dibawa ke Kabinet,” katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika menyempurnakan ucapan perasmian penutup Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya, di sini hari ini.

Katanya lagi, bagi wakil rakyat yang sudah menerima lebih daripada satu skim pencen, ia merupakan tanggungjawab moral untuk memilih semula hanya satu skim pencen dan perkara itu juga sudah dilakukan isterinya sendiri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Katakan ada pencen sebagai mantan pegawai kerajaan, sebagai mantan menteri yang juga mantan Ahli Parlimen, yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); maksudnya ada tiga atau empat pencen maka saya katakan dari segi moral pilih satu sahaja dan ini termasuk Wan Azizah.

“Wan Azizah ada pencen sebagai doktor kerajaan, sebagai ADUN Selangor serta sebagai Ahli Parlimen; dan tentunya beliau sebagai seorang yang bertanggungjawab sudah maklumkan pada saya pagi tadi, yang dia akan pilih hanya satu pencen,” katanya.

Anwar berkata, pemansuhan skim pencen penjawat awam sudah semestinya juga akan menyebabkan kadar gaji sedia ada yang diterima meningkat apabila adanya komitmen dari kerajaan untuk memperbaiki kadar upah dan gaji selepas 12 tahun tanpa sebarang penilaian.

“Sudah 12 tahun penjawat awam bekerja namun tiada penilaian dan komitmen untuk memperbaiki kadar upah dan gaji mereka. Kita sudah memutuskan walaupun ada kekangan kewangan, kerajaan bertanggungjawab menilai menaikkan (gaji) mengikut keupayaan kita dengan hutang yang besar.

“Harus ada komitmen untuk meningkatkan kadar upah penjawat awam negara kita tetapi kita kena faham juga tentunya (kenaikan) tidak harus terlalu tinggi kerana akan membebankan ekonomi negara,” katanya.

Sumber – https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2024/01/1205905/wan-azizah-pilih-satu-daripada-tiga-pencen-anwar