Oleh: Helmi Mohd Foad
Sebarang cadangan untuk mewujudkan kembali pelaksanaan Cukai
Perkhidmatan dan Barangan (GST) perlu mengambil kira kedudukan pendapatan
rakyat terbanyak.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan akan berusaha sedaya
upaya untuk memastikan beban cukai tidak dialihkan kepada rakyat yang kurang
berkemampuan.
Beliau menegaskan, prinsip itulah yang telah ditekankan pihaknya
sekiranya ada usaha untuk melaksanakan semula GST yang diperkenalkan pada 2015
dan dimansuhkan pada 2018 oleh Kerajaan Pakatan Harapan.
"Kalau boleh kita kenakan dahulu cukai kepada golongan kaya
seperti cukai barangan mewah, cukai modal, penjimatan dan subsidi bersasar,
kita lakukan itu dahulu.
"Itu juga akan sumbangkan kepada kekuatan fiskal kita dalam
masa sama kita tidak mahu politikkan, ini tidak boleh langsung.
"Sebab itu saya kata kita akan dipandu semua perkara, sampai
sekarang GST tidak dilaksanakan kerana ada banyak kaedah yang boleh kita teroka
untuk kukuhkan fiskal negara tanpa kita membebabkan rakyat," katanya dalam
program Podcast Yang Bakar Menteri bersama Nazri Hamdan kelmarin.
Beliau ditanya mengenai pendirian kerajaan yang kini bersikap
terbuka tentang GST berbanding menentangnya ketika menjadi pembangkang sebelum
ini dan bilakah sistem percukaian itu mahu diperkenalkan semula.
Rafizi yang juga Timbalan Presiden KEADILAN berkata pihaknya
bersikap terbuka tentang pelaksanaan GST jika pada satu ketika gaji rakyat
sudah meningkat selain lebih ramai yang berada dalam sektor penggajian formal
dan membayar cukai.
"Ketika itu kita sudah melepasi satu tahap ambang pendapatan
dan kalau kita laksana GST ia tidak langgar prinsip ekuiti, maksudnya kesannya
sama sama ada keluarga itu bayar melalui cukai pendapatan atau GST adalah sama,
kita bersikap terbuka masa itu.
"Kita bukan anti GST, kita hendak laksana ikut panduan ini
supaya ia bersesuaian dengan kedudukan ekonomi negara tanpa berlaku tidak adil
kepada rakyat," katanya.
Rafizi menjelaskan semasa GST ditimbulkan sekitar tahun 2013,
subsidi minyak yang perlu ditanggung oleh kerajaan antara RM5 bilion hingga RM8
bilion setahun dan dalam masa sama ada masalah tatatakelola.
"Kita tahu amalannya apabila kerajaan laksana GST ia akan
bermula pada kadar tertentu dan tidak ada turun, mesti naik.., tidak ada negara
di dunia yang turunkan kadar GST, sebab itu mula dari bawah 10 peratus,"
katanya.
Namun katanya memandangkan paras gaji pekerja di negara ini masih
rendah, kerajaan tidak ada mekanisme untuk mengenakan GST dan turunkan cukai
pendapatan yang memberikan manfaat kepada keluarga yang memang pendapatan
mereka rendah dan tidak membayar cukai.
"Dalam suasana kedudukan fiskal negara tidak dibebankan
subsidi macam sekarang, dalam keadaan kita berdepan masalah tatakelola 1MDB dan
dengan berlatar belakang oleh kerana tahap gaji negara bila kita laksana GST,
kita pindahkan cukai kepada keluarga tidak bayar cukai, ada perkara lain yang
boleh dibuat untuk kita kukuhkan pendapatan," katanya.