Di sebalik Tun Daim Zainuddin kini sedang
dirawat di hospital, meskipun kebenaran untuk mendakwanya di mahkamah telah
diperolehi daripada Jabatan Peguam Negara, kemudian disusuli dengan kenyataan
Na’imah Khalid bahawa suaminya sedia didakwa di mana-mana saja, tetapi adalah
disarankan agar SPRM bersabar sedikit dan tidak terlalu gopoh dalam
tindakannya.
Jangan tergesa-gesa mahu meneruskan pendakwaan
dengan membawa hakim ke hospital bagi tujuan tersebut dalam waktu terdekat ini.
Bersabar seketika dahulu dan tunggu beberapa
ketika lagi sebelum memikirkan pilihan yang seterusnya.
Bukan apa, jika tergesa-gesa meneruskan
pendakwaan dalam keadaan Tun Daim baru saja dimasukkan ke hospital, apa lagi
jika didorong rasa tercabar dengan kenyataan isteri Tun Daim yang seolah-olah
mencabar itu, dibimbangi nanti tindakan yang diambil itu akan membenihkan
simpati pula kepadanya.
Memang berdasarkan tinjauan umum, terlihat
ramai rakyat yang bersikap positif dengan tindakan kerajaan terhadap bekas
Menteri Kewangan itu, tetapi jangan sekali dilihat bertindak “overkill”.
Jika terlihat demikian – percayalah – rakyat
akan jadi simpati kepada Tun Daim dan mula mencemuh kerajaan, khususnya Perdana
Menteri, Anwar Ibrahim.
Sebab itu, penting untuk SPRM bersabar sedikit
masa lagi, lihat dahulu dan dapatkan maklumat penuh tentang kesihatannya dan
berapa lama Tun Daim mungkin dirawat di hospital.
Hanya setelah tiada pilihan lain dan setelah
berbulan-bulan ruang masa diberi misalnya, barulah ketika itu pertimbangan
membawa hakim ke hospital harus menjadi pertimbangan.
Itu pun kena tengok pula bagaimana keadaan
semasa Tun Daim ketika itu, jika kesihatannya makin tenat seperti tidak sedarkan
diri, berada di ICU dan sebagainya, tetapi terus juga membawa hakim dan
membacakan pertuduhan, tindakan itu pasti akan dilihat sebagai sesuatu yang
tidak berperikemanusiaan.
Pendakwaan di hospital hanya wajar dilakukan
jika Tun Daim dalam keadaan sihat dan sedar sepenuhnya, cuma barangkali
berdepan masalah pergerakan yang tidak membolehkannya pergi ke mahkamah saja.
Sekali lagi, SPRM kena berhati-hati, selalu
bersabar serta jangan sampai kerja baik yang dilakukanntidak membawa markah,
sebaliknya memberi simpati kepada pihak lain.
Na’imah, isteri Tun Daim Zainuddin sebelum ini
semacam mencabar SPRM agar meneruskan pendakwaan mahkamah terhadap suaminya,
walaupun ketika di hospital.
Kata beliau, suaminya sedia berdepan sebarang
pertuduhan jenayah dan tidak menggunakan alasan dirawat di hospital bagi
mengelak dibawa ke mahkamah.
“Biar saya sebut dengan jelas bahawa Tun Daim
sedia berdepan sebarang pertuduhan, tidak kira di mana-mana dan akan
bersungguh-sungguh mempertahankan diri berdasarkan undang-undang.
“Tertakluk kepada kebenaran hospital, suami
saya sedia berdepan “pendakwaan politik” walaupun di hospital,” tegasnya.
Na’imah memberi respon demikian berikutan
kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki yang menyebut, disebabkan Tun Dam
dimasukkan ke hospital atas masalah kesihatan, pendakwaan terhadapnya tidak
dapat dilakukan buat masa ini, meskipun telah mendapat kebenaran Jabatan Peguam
Negarq.
Beliau yang ternampak sedikit kecewa, terutama
kerana doktor yang merawat Tun Daim tidak berterus-terang tentang masalah
kesihatan yang dihadapi oleh bekas Menteri Kewangan itu berkata, jika tidak
kerana berada di hospital, pendakwaan sudah pun dilakukan.
“Izin nak dakwa tu dah dapat seminggu lebih
dah. Dan lepas dapat izin mendakwa tu kita maklum peguam dia nak bawa ke
mahkamah.
“Kita (kemudiannya) dimaklumkan dia (Daim)
dimasukkan ke sebuah hospital (swasta).
“Kita buat observation (pemerhatian) dan
mendapat maklumat bahawa dia masuk hospital sebelum kita dapat izin mendakwa
lagi.
“Itu betul la. Tetapi (apabila) kita bertanya
doktor bila dia boleh keluar hospital, doktor pun tak nak bagi jawapan yang
betul,” kata Azam Baki lagi.
Begitu pun, tambahnya, pilihan terakhir buat
SPRM ialah membawa seorang hakim ke hospital yang menempatkan Tun Daim supaya
pertuduhan dapat dibacakan terhadapnya.
Harapnya, pilihan terakhir itu hanya setelah
difikir dengan semasak-masaknya. – ShahbudinHusin 24/01/2024.