Oleh: Helmi Mohd Foad
Sebarang usaha untuk menumbangkan kerajaan tidak mungkin berlaku
kerana apa yang digembar-gemburkan pada waktu ini tidak melalui proses yang
sepatutnya mengikut undang-undang.
Penganalisis politik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman
Awang Pawi berkata, proses untuk mengambil alih kerajaan dengan menyatakan
sudah cukup jumlah sokongan Ahli Parlimen perlu dilakukan di Dewan Rakyat
melalui usul undi tidak percaya bukan melalui jalan selainnya.
"Cukup jumlah juga perlu diumumkan oleh ketua-ketua parti
tetapi kita lihat yang umumkan itu adalah penulis blog, ini agak berbeza.
"Kuasa untuk melantik Perdana Menteri pula adalah kuasa Yang
di-Pertuan Agong, bukan bloger dan parti pun hanya boleh umumkan calon
(PM)," katanya dalam program Borak Dahsyat: 'Apa Sebenarnya Langkah Dubai'
terbitan Studio Dahsyat malam tadi.
Program itu turut menampilkan Setiausaha Politik Kanan Perdana
Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan mantan Ahli Parlimen Kuala
Langat Datuk Abdulllah Sani Abdul Hamid.
Awang Azman berkata, ramai juga pihak bertanya siapakah bakal
calon Perdana Menteri yang cuba ditonjolkan oleh pihak yang mahu menumbangkan
kerajaan sekarang.
"(Pada saya) dia mestilah seorang Ahli Parlimen yang mendapat
kepercayaan majoriti dan dilantik oleh Agong dan bukannya penulis blog,"
katanya.
Pensyarah yang berasal dari Sarawak itu berkata kemungkinan
berlaku perubahan kerajaan juga boleh dilihat sejauh mana kedudukan kuasa
penentu iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Katanya Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg sudah
beberapa kali menegaskan pendiriannya menyokong Kerajaan Perpaduan dan tidak
pernah mengatakan sebaliknya.
"Jadi saya kira apabila GPS berulang kali di Sarawak berikan
kenyataan tetapi dibuat juga (usaha tukar kerajaan) ada suatu perkara yang
tidak kena. Ada kekecewaan di minda yang berlaku akibat sindrom penafian
seolah-olah mereka (PN) tidak berhenti selagi tidak mendapat kerajaan,"
ujarnya.
Sebelum ini, katanya pihak pembangkang mengumumkan kepada
penyokong mereka bahawa kerajaan akan tumbang dalam masa tiga bulan dan jika
sekiranya tidak berlaku mereka boleh bubarkan parti.
Jelasnya, sepatutnya penyokong kerajaan mengambil kesempatan untuk
menyerang balik pembangkang kerana janji kepada pengikut mereka tidak menjadi
dan parti mereka tidak dibubarkan.
Katanya, pemimpin pembangkang dilihat menggunakan isu pertukaran
kerajaan untuk terus mendapat momentum sokongan daripada pengikut mereka yang
sangat walak (taat).
"Kadang-kadang apabila sudah ditipu banyak kali mereka
mempertikaikan inilah sebab penyokong mereka mula berfikir jadi rasional,
mengapa tidak berlaku (tukar kerajaan), sebab itu ada yang kecewa ada yang
umumkan sokong kerajaan (PM)," katanya.
Jelasnya apa yang menghairankan pengikut parti pembangkang
terutamanya Pas tidak pula mempertikaikan pemimpin mereka yang terus
menggunakan isu tukar kerajaan untuk memastikan momentum sokongan terus kekal.
"Cara mereka wujudkan persepsi lebih hidup daripada
realiti," sinisnya.
Dalam hal ini, kata beliau, pembangkang menghadapi kesukaran
apabila kestabilan politik membolehkan kerajaan menunjukkan prestasi yang baik
seperti kadar inflasi menurun, pengangguran rendah dan defisit dapat
dikurangkan.
Kata Awang Azman, fokus sebenar rakyat pada masa ini adalah
peralihan kuasa pemerintahan Yang di-Pertuan Agong dari Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan
Iskandar pada Februari ini.
"Mana mungkin Yang di-Pertuan Agong mahu melayan perkara yang
diumumkan oleh penulis blog dan bukannya ketua-ketua parti.
"Saya kira rakyat dan penyokong mana-mana parti kena rasional
berfikir dan sentiasa bertanya apakah perkara ini betul? Logikkah 150 majoriti,
di luar kawalankah? Perkara ini perlu diterapkan agar penonton (rakyat) tidak
cepat cemas dan bimbang malah mudah percaya," katanya.