CARTOON BY ZUNAR
Di Malaysia, kita juga telah mempergunakan perkauman terlalu
lama. Ia adalah laluan mudah untuk memenangi pilihan raya, tetapi tahap kepimpinan
yang dihasilkan cukup lemah. Negara ini telah melahirkan kleptokrat yang
terkenal di seluruh dunia, dan rasuah menjadi endemik.
Perpecahan tetap akan memecahkan kita, dan hari ini kaum Melayu
pun sudah berpecah-belah – akibat dipergunakan sentimen kaum dan agama sebagai
isu untuk meraih undi dan bukannya untuk ditumpukan kepada kesejahteraan semua
rakyat.
Umno tidak lagi bersatu, begitu juga Bersatu, sebuah lagi entiti
politik Melayu. Nama cukup hebat, tetapi kosong dalam soal pencapaian mereka.
Kita sedang menipu diri sendiri untuk percaya bahawa Barisan Nasional masih
penting, saatnya MIC dan MCA sendiri menarik diri daripada pilihan raya negeri.
Pengakhiran mereka sudah hampir.
Kita tidak boleh membina masyarakat yang bersatu padu dengan
mempergunakan isu identiti. Kepelbagaian adalah realiti dalam dunia global hari
ini. Isu-isu yang perlu ditangani segera ialah cabaran asas yang dihadapi oleh
orang ramai: kesihatan, pendidikan, pekerjaan, gaji hidup. Mereka yang berkuasa
perlu memastikan keperluan asas ini dipenuhi.
Kita menyaksikan dalam Malaysia sendiri, wujud jurang perbezaan
pembangunan ekonomi yang berbeza-beza dari negeri ke negeri. Infrastruktur
logistik, pelabuhan, pengangkutan dan jalan raya semuanya penting untuk
pembangunan, dan ini harus menjadi tumpuan.
Namun, ahli politik kita hanya menghabiskan banyak masa mereka
untuk menunggang kaum dan agama. Sebagai ‘juara’ isu kaum dan agama, mereka
hanya memperkayakan diri dan merosakkan negara.
Sifat rasuah yang mengakar adalah realiti yang tidak boleh
diketepikan. Walaupun terdapat citra keagamaan yang melebih-lebih, namun hanya
sedikit kualiti serta ciri kepimpinan yang boleh merungkai permasalahan
mengikut keperluan negara.
Ramai ahli politik kita memainkan isu yang memecahbelahkan.
Mereka langsung tiada idea. Mereka tidak mempunyai kemampuan untuk merumuskan
penyelesaian progresif kepada cabaran negara. Pemahaman mereka tentang Islam
bukanlah bersifat maju dan mencitrakan keadilan.
READ MORE: Malaysia facing a decline in
reasoning its faith?
Sekurang-kurangnya, di bawah “kerajaan perpaduan” sekarang, kita
mendengar nada terangkum dari pimpinan. Walaupun ahli politik barangkali masih
bermain wayang, ia sedikit melembutkan hati untuk mendengar suara menjurus
kepada keterangkuman.
Pakatan Harapan adalah gabungan pelbagai etnik yang mementingkan
keadilan, demokrasi dan kesaksamaan. Masa depan adalah gabungan politik yang
terdiri daripada pakatan politik yang berbeza melibatkan parti ultra serta
parti yang sederhana. Ini akan memaksa parti politik bekerjasama.
Pembaharuan institusi seharusnya terus berada dalam agenda, dan
akhirnya, ia akan menghakis cengkaman etnik dan agama pada para pengundi. Jika
tidak, kita akan kekal sebagai masyarakat yang berpecah-belah.
Matlamat kami adalah untuk membina sebuah negara yang bersatu padu
yang menghormati kepelbagaian dan menjunjung nilai-nilai murni yang terdapat
dalam semua agama, agar perpaduan dan keyakinan dapat diilhamkan.
Kita memerlukan ahli politik yang boleh menyatukan rakyat,
mengatasi perbezaan dan menetapkan sasaran bagi memastikan masyarakat bergerak
ke arah yang sama. Usaha memenuhi keperluan semua orang akan memastikan
keselamatan dan kesejahteraan negara. Kita tidak boleh membina masyarakat yang
manusiawi tanpa pertimbangan kemanusiaan.
Hari ini, kita adalah masyarakat yang berpecah-belah walaupun
wujud laungan berkisar soal Rukun Negara, Wawasan 2020, Keluarga Malaysia dan
Satu Malaysia. Kita berharap agar Malaysia Madani tidak akan menghadapi nasib
yang sama kerana, jika ia menjadi begitu juga, kita akan terlepas peluang
sekarang untuk membuat perubahan.
Kita memerlukan dasar tindakan menyeluruh yang baharu bagi
menumpukan usaha perpaduan melibatkan semua. Ini harus dicerminkan dalam
perkhidmatan awam, dalam pasukan pertahanan, dalam pendidikan dan dalam
syarikat berkaitan kerajaan.
Dasar sedemikian akan menghantar isyarat kepada semua orang di
Malaysia bahawa mereka penting, dan tanggungjawab itu diberikan kepada semua.
Sebuah jawatankuasa perundingan boleh menangani agenda ini
saatnya kita memandang ke hadapan.
K Haridas
Editor bersama, surat berita Aliran
12 Julai 2023
Terjemahah oleh: Zikri Rahman
The
views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have
endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other
pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.