Paling waras sekali, Tengku Zafrul sepatutnya tidak bertanding di mana2 kerusi DUN dan menumpukan usahanya membantu PH/BN mencapai kemenangan di Selangor, tapi jika mahu diletakkan bertanding juga, letakkanlah beliau untuk berlawan dengan tokoh2 utama PN seperti Azmin Ali misalnya….
Untuk PRN akan datang ini, khususnya dalam konteks Selangor, peranan yang sewajibnya mesti dimainkan oleh UMNO ialah membantu dalam memastikan kerajaan PH sedia ada yang ditambah dengan jenama kerajaan perpaduan, terus kekal mentadbir negeri itu.
Ini kerana PH memang sudah sedia memerintah Selangor dengan majoriti yang besar yang diraihnya pada PRU yang lalu.
DUN Selangor mempunyai 56 kerusi Dun dengan kedudukan terkini ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, AMANAH-6), BN (lima), BERSATU (empat), Parti Bangsa Malaysia (dua), manakala PAS, Pejuang dan WARISAN masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.
Satu lagi kerusi iaitu DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan Dun melebihi enam bulan.
Dengan kerajaan sedia ada dipastikan terus memerintah Selangor, maka UMNO bolehlah beroleh apa-apa jawatan, baik sebagai Exco, dalam GLC negeri dan sebagainya, selaras dengan kerjasama yang sedia wujud antara PH dengan BN di peringkat pusat.
Kalau pun UMNO mahu meminta tambahan kerusi daripada lima yang sedia dimilikinya, permintaan itu mestilah munasabah dan tidak sampai mahu merampas kerusi-kerusi yang sedia dipegang oleh PH.
Ini tidak, sudahlah dikhabarkan daripada lima dan PH sedia memberikan BN sehingga 10 kerusi, itu pun diberitakan masih dianggap tidak cukup lagi.
Ada laporan menyebut BN mahu diperuntukkan sebanyak 14 hingga 17 kerusi Dun diberikan kepada mereka.
Dikatakan bahawa hujah yang digunakan ialah ia untuk memperlihatkan parti dominasi Melayu tetap mempunyai peranan penting, selain kononnya jika UMNO tidak diberi banyak kerusi, kedudukan parti itu untuk terus memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri juga boleh terancam.
Tidak cukup dengan banyak kerusi yang dituntut, Menteri Pedagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang kalah pada PRU15 lalu di Parlimen Kuala Selangor, turut menjadi topik paling hangat dikatakan mahu diletakkan sebagai calon di peringkat Dun pula.
Beberapa kerusi diintai untuk diberikan kepada beliau, antaranya Kuang dan Sungai Kandis.
Soalnya, untuk apa Tengku Zafrul mahu dibawa bertanding di peringkat Dun?
Tidak cukup lagilah jawatan menteri dan senator yang dipegangnya sekarang?
Walaupun tempoh senatornya akan tamat pada Disember 2025 dan ketika itu nanti jawatan menterinya juga wajib dilepaskan, ia bukan alasan untuk memberinya peluang bertanding di peringkat Dun di Selangor.
Lebih tidak masuk akal jika UMNO beria-ia mahu Tengku Zafrul bertanding di Dun Sungai Kandis, kawasan yang kini diwakili PH dan Adunnya sekarang sedang menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri.
Kenapa UMNO mahu memilih kawasan yang selamat yang sudah sedia dimenangi oleh PH untuk diperuntukkan kepada Tengku Zafrul?
Sebagai menteri dan jika Tengku Zafrul benar-benar pemimpin yang hebat, kenapa UMNO tidak mempertaruhkannya untuk berlawan dengan pemimpin utama PN seperti Azmin Ali misalnya?
Kenapa mesti diberi kawasan yang selamat untuknya?
PH dan khususnya PKR, wajib mempertahankan mana-mana kerusi yang sedia dimilikinya dan tidak semudah itu menyerahkannya kepada kawan yang baru didampingi kerana jika itu berlaku, ia akan membunuh moral ahli-ahli parti di seluruh negara.
Paling waras dan munasabah sekali sebenarnya, Tengku Zafrul sebaiknya tidak bertanding dalam PRN kali ini dan beliau lebih wajar memainkan peranan untuk membantu kemenangan PH/BN, sambil selepas itu nanti menumpukan khidmatnya kepada rakyat tanpa jawatan dalam kerajaan dan memilih mana-mana kawasan Parlimen di Selangor yang ketika ini diwakili blok pembangkang untuk PH/BN merampasnya dalam PRU16 akan datang.
Yang pelik juga, dengan beria-ia mahu meletakkan Tengku Zafrul bertanding di Dun yang selamat, apakah UMNO ada niat terselindung mahu merebut jawatan Menteri Besar daripada PKR? – ShahbudinHusin 28/06/2023.
https://shahbudindotcom.net/