Saya tidak membesar dengan merayakan ulang tahun. Staf saya dari dulu tahu saya kurang gemar majlis ulang tahun. Hari lahir sendiri dan hari ulang tahun perkahwinan pun kadang-kadang terlupa.
Jadi ulang tahun memikul beban sebagai Menteri Ekonomi pun begitu juga – datang sepantas ia pergi.
Saya berterima kasih terutamanya kepada penjawat awam di Kementerian Ekonomi dan pegawai saya di pejabat menteri yang memudahkan saya menjalankan amanah itu.
Perkara-perkara yang perlu dirancang dan dilaksanakan adalah perkara struktur yang hanya dirasai kesannya apabila setiap satu reformasi ekonomi itu berjalan dan saling berhubung antara satu sama lain.
Saya dibesarkan dari keluarga susah. Pelajaran mengenai ekonomi mikro adalah dari ibu bapa saya; iaitu aset terbaik kita adalah ilmu, sikap tidak berputus asa dan kegigihan mencipta nilai. Barang siapa yang mengusahakan sesuatu dengan sikap-sikap ini (aset yang dia ada), Insya Allah senanglah hidupnya.
Maka merancang ekonomi makro pula adalah untuk memastikan dua perkara utama: bahawa mereka yang tidak berkeupayaan (atas sebab-sebab yang dia tidak dapat dielakkan) diberikan perlindungan dan bantuan; sementara mereka yang berdaya perlu diupayakan agar mereka dapat bersaing mencipta nilai (dengan aset ilmu, sikap dan kepatuhan kepada penciptaan nilai).
Apa kena mengena semua ini dengan ekonomi? Apa cerita mata wang, harga barang, gaji dan sebagainya?
Kerana ekonomi negara itu dibina dari unit-unit mikro di peringkat individu dan keluarga; sementara keupayaan unit-unit mikro ini mencipta nilai ekonomi dipengaruhi oleh dasar-dasar makro yang menjadi sifat ekonomi sesebuah negara.
Jadi apa tugas saya sebagai Menteri Ekonomi?
Pertamanya, saya bertanggungjawab membina lantai supaya setiap rakyat Malaysia berupaya menjalani hidup yang bermaruah. Di peringkat kerajaan, supaya kedudukan fiskal negara (keberhutangan negara, perbelanjaan pembangunan negara dan seumpamanya) itu kukuh dan mampu melalui sebarang kejutan ekonomi diluar kawalan kita.
Inilah fungsi beberapa kerangka utama reformasi ekonomi yang dijalankan setakat ini – seperti penghasilan maklumat sosio ekonomi yang tepat melalui PADU, usaha membasmi kemiskinan melalui penjanaan pendapatan, penyasaran semula subsidi dan lain-lain.
Kesemuanya bertujuan untuk membina lantai yang kukuh.
Tugas kedua saya ialah membina tangga supaya anak Malaysia yang berdaya saing berpeluang menaiki tangga itu (tanpa halangan) untuk mencipta nilai ekonomi yang lebih tinggi bagi dirinya dan negara.
Yang lemah dilindungi oleh lantai, yang berupaya berpeluang menaiki tangga mencipta kesejahteraan untuk dirinya dan masyarakat.
Dasar-dasar seperti sektor ekonomi bernilai tinggi (high growth high value/HGHV) dari peralihan tenaga, digital dan tech, pertanian moden, dasar gaji progresif, govtech dan reformasi pasaran kerja adalah komponen-komponen tangga yang dipasang satu persatu. Tujuannya untuk membina satu persekitaran ekonomi yang menawarkan peluang baru kepada anak dan syarikat Malaysia yang ingin maju.
Itulah fungsi sebuah kementerian yang diberi amanah merencanakan ekonomi.
Saya rasa terlalu banyak yang perlu dilaksanakan serentak dan pelaksanaannya itu perlu berlaku secepat mungkin. Namun, usaha-usaha ini bersifat jangka sederhana dan panjang, maka wajarlah ia dirancang dan dilaksanakan dengan teliti.
Insya Allah, pengalaman setahun ini memadai untuk memberi gambaran kepada rakyat fungsi dan peranan Kementerian Ekonomi.
Bagi mereka yang ingin memahami saling kait antara ekonomi mikro dan makro; dan bagaimana Kementerian Ekonomi mengusahakan lantai dan tangga untuk anak-anak Malaysia, boleh perhalusi imbasan satu tahun Kementerian Ekonomi yang boleh dimuat turun di: https://setahun.ekonomi.gov.my