TAK PATUT TIADA PEMIMPIN INDIA DALAM KABINET, SUSAH SANGATKAH UNTUK ANWAR WUJUDKAN SATU LAGI KEMENTERIAN BARU?


Beberapa pemimpin masyarakat India daripada pelbagai parti dilihat tidak senang dengan rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Selasa lalu.


Ini berikutan selepas rombakan tersebut, tiada pemimpin India diletakkan sebagai menteri.


Sebelum rombakan, satu-satunya pemimpin India yang berada dalam kabinet ialah V Sivakumar daripada DAP dengan memegang portfolio sebagai Menteri Sumber Manusia.


Tetapi dalam rombakan yang dilakukan Anwar, V Sivakumar telah digugurkan dan Menteri Sumber Manusia yang baru ialah Steven Sim, Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam.


Bersekali dengan pengguguran V Sivakumar dan disusuli Steven Sim dinaikkan pangkat daripada Timbalan Menteri Kewangan menjadi Menteri Sumber Manusia, seorang lagi pemimpin DAP turut dilantik sebagai menteri iaitu Gobind Singh Deo yang diberikan amanah sebagai Menteri Digital.


Masalahnya di sini, meskipun DAP diberi tambahan satu lagi kerusi menteri selepas V Sivakumar digugurkan, tetapi Gobind Singh Deo yang dilantik bukan seorang India.


Beliau sebaliknya adalah berketurunan Benggali iaitu anak kepada mendiang Karpal Singh.


Bermakna, V Sivakumar yang digugurkan dan kedudukannya yang sebelum ini dikira mewakili kaum India tidak diganti dengan sesiapa daripada pemimpin India.


Memandangkan amalan politik berdasarkan kaum dan bangsa masih menjadi pegangan di negara kita, kekecewaan masyarakat India berhubung ketiadaan wakil mereka sebagai menteri itu tentu saja mudah untuk difahami.


Jika kita berbangsa India, kita pun pasti kecewa dan kecil hati dengan perkara ini.


Lebih-lebih lagi kaum India agak ramai juga jumlahnya yang menyokong PH sejak dulu lagi, baik melalui DAP mahu pun PKR.


Bahkan, MIC sebuah komponen BN juga sudah berada dalam blok kerajaan sekarang ini.


Dalam keadaan ini, maka amatlah tidak wajar wakil kaum India disisihkan dalam kabinet yang sekaligus seolah-olah menggambarkan tidak inklusifnya Kerajaan Madani yang ada ini.


Dalam hal ini, sebelum kekecewaan masyarakat India berlarutan, ada baiknya jika Anwar segera menambah satu lagi kementerian dalam kerajaan.


Jika Kementerian Komunikasi dan Digital serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim boleh dipecahkan, maka tiada masalah sebenarnya Kementerian Sumber Manusia turut dipecahkan menjadi dua.


Satu sebagai Kementerian Sumber Manusia dan satu lagi untuk mengurus pekerja asing dan ia boleh diberi nama Kementerian Tenaga Kerja Asing.


Berdasarkan jumlah pekerja asing – yang sah dan tidak sah – dianggarkan lebih 5 juta di negara ini, amat perlu sebenarnya sebuah kementerian khusus diwujudkan untuk menanganinya.


Dan kementerian tersebut bolehlah diserahkan kepada mana-mana pemimpin masyarakat India sebagai menterinya.


Atau boleh juga diwujudkan apa-apa kementerian lain yang bersesuaian dengan keperluan semasa negara.


Demi kestabilan politik, keadilan dan sama-sama merasa kepada semua kaum, susah sangatkah untuk Anwar menambah satu lagi kementerian?


Lagi pula, selepas rombakan dilakukan Selasa lalu, jumlah menteri telah meningkat daripada 28 orang sebelumnya menjadi 31 orang


Takkan tak boleh tambah seorang lagi? – ShahbudinHusin15/12/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/12/15/tak-patut-tiada-pemimpin-india-dalam-kabinet-susah-sangatkah-untuk-anwar-tambah-satu-lagi-kementerian-baru.html