SUDAH TIGA KALI CETUS KONTROVERSI, APAKAH DAP MAHU SABOTAJ ANWAR?


Hanya dalam tempoh yang cukup singkat sebelum berakhirnya tahun 2023 ini, sudah tiga kontroversi dicetuskan oleh DAP berkaitan Melayu dan Islam di negara ini.


Pertama, tentang bukan Melayu sebagai Perdana Menteri yang ditimbulkan oleh veteran DAP, Lim Kit Siang.


Kedua, gesaan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai agar pilihanraya PBT dimulakan perlaksanaannya di Kuala Lumpur bagi merakyatkan lagi sistem pentadbiran di ibu kota berasaskan semangat demokrasi.


Ketiga dan yang terbaru, permintaan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham agar pakar perundangan bukan Islam turut sama dibawa menganggotai jawatankuasa mengkaji bidang kuasa Mahkamah Syariah.


Bermula awal tahun 2024 nanti, agaknya entah apa-apa lagi akan dibangkitkan oleh pemimpin DAP yang lain pula berkaitan Melayu dan Islam.


Kenapa DAP tak habis-habis cuba mencetuskan kontroversi?


Bagi isu terbaru yang dicadangkan oleh Ngeh, ia memang sesuatu yang tidak masuk akal sama sekali, bahkan perlu ditentang keras oleh semua umat Islam.


Untuk apa urusan orang Islam dalam Mahkamah Syariah mahu dicampuri oleh bukan Islam sebagaimana diminta DAP itu?


Selain pakar perundangan Islam sendiri diyakini mampu menguruskan hal-hal berkaitan kepentingan umat Islam, bukan Islam khususnya DAP tiada hak untuk campurtangan dalam hal ini.


Takkan hal pertikaian nikah kahwin, cerai berai, pembahagian harta dan penjagaan anak yang melibatkan orang Islam dalam Mahkamah Syariah mahu diambil tahu oleh DAP juga?


Hal orang Islam, biar orang Islam sendiri menguruskannya.


Apakah DAP sejak berada dalam kerajaan sudah mahu tunjuk belang ingin campurtangan dalam semua perkara di negara ini, termasuk yang eksklusif untuk orang Islam?


Sebagaimana dua saranan DAP sebelum ini mendapat bantahan keras daripada rakan-rakan dalam kerajaan, khususnya UMNO, kali ini juga ia dibantah keras oleh parti Melayu itu.


Parti lain dalam kerajaan nampaknya masih senyap dan tersembunyi lagi suara mereka.


Oleh kerana sudah dikira relatif kerap DAP mencetuskan kontroversi melibatkan orang Melayu dan Islam di negara ini, sebagaimana saya telah sarankan sebelum ini dalam isu Perdana Menteri bukan Melayu dan pilihanraya PBT, sekali lagi saya ingin menggesa Anwar Ibrahim agar segera memberi nasihat dan menegur parti tersebut.


Sikap DAP ini tidak boleh dibiarkan kerana ia menjejaskan keharmonian dalam negara dan menjadikan kedudukan kerajaan tidak elok dipandang rakyat.


Sepatutnya setelah berada dalam kerajaan, lebih-lebih lagi kerana terbinanya kerajaan perpaduan ini atas sokongan UMNO, DAP lebih sedar diri dan tahu membawa diri.


Jika begini berterusan sikap mereka, tidak mungkin orang Melayu boleh gembira dalam tempoh yang lebih lama dengan keberadaan DAP dalam kerajaan perpaduan ini.


Di waktu yang sama, jika berterusan begini juga, tidak mungkin UMNO pun boleh bertahan lama dalam kerajaan perpaduan pimpinan yang ada DAP ini.


Pokoknya, kalau begini karenah DAP, bagaimana Anwar mampu bertahan lebih lama lagi sebagai Perdana Menteri?


Melepasi setahun pun tercungap-cungap, kenapa mahu ditambah lagi dengan isu yang tidak perlu?


Dan memandang jauh ke hadapan sikit, dengan karenah yang sama oleh DAP ini, bagaimana boleh diyakini Anwar mampu meraih sokongan pengundi Melayu dalam PRU16 akan datang, seterusnya tidak sekadar mampu bertahan sepenggal saja sebagai Perdana Menteri?


Kadang-kadang terdetik di hati, apakah DAP mahu sabotaj Anwar? – ShahbudinHusin 29/12/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/12/29/sudah-tiga-kali-cetus-kontroversi-apakah-dap-mahu-sabotaj-anwar.html