SETELAH MENARA ILHAM MILIK TUN DAIM DISITA SPRM, APA BAKAL BERLAKU SELEPAS INI?


Berita paling panas di negara kita sekarang ialah laporan tentang penyitaan Menara Ilham, sebuah bangunan milik Tun Daim Zainuddin oleh SPRM yang diberitakan bermula semalam.


Ia menjadi berita panas kerana menara setinggi 60 tingkat itu adalah milik Tun Daim, tokoh perniagaan dan politik yang tidak perlu diperkenalkan lagi.


Sebelum 2018, di bangunan itulah banyak berlaku operasi politik untuk membantu PH memenangi PRU14 sehingga Tun Mahathir akhirnya berjaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada tahun tersebut.


Selepas Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri pula di mana kemudian Tun Daim dilantik mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan, Menara Ilham adalah bangunan tumpuan kerana di situlah majlis tersebut sering mengadakan mesyuaratnya.


Bahkan, ketika Tun Daim mahu bertemu sesiapa – sama ada untuk meminta pandangan, menawarkan jawatan atau menasihatkan sesiapa dalam kerajaan agar meletakkan jawatan – di bangunan itulah saksi segala kejadian.


Pendeknya, ketika era PH 1.0 berkuasa, selain Pejabat Perdana Menteri dan Bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, Menara Ilhamlah tumpuan utama pihak media.


Menurut laporan, tindakan penyitaan Menara Ilham dibuat selepas Tun Daim dikatakan enggan mematuhi arahan SPRM untuk mengisytiharkan pegangan kewangan miliknya dan keluarganya.


Memetik laporan CNA atau Channel News Asia, tindakan SPRM tersebut adalah sebahagian daripada siasatan antipengubahan wang haram melibatkan bekas Menteri Kewangan itu yang bermula pada Mei lalu berkaitan transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997.


Urusniaga itu difahamkan melibatkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM).


Sebelum tindakan sita ini, sejumlah akaun bank melibatkan Tun Daim dan syarikat-syarikat yang dipercayai ada kaitan dengannya telah juga dibekukan oleh SPRM.


Bertambah lagi panasnya berita penyitaan Menara Ilham milik Tun Daim ini kerana ia berlaku di ketika Anwar Ibrahim telah berada sebagai Perdana Menteri.


Ini sekaligus menjadikan buat pertama sebuah bangunan pencakar langit disita keseluruhannya untuk tindakan siasatan dan mencari bukti oleh SPRM.


Kita mungkin biasa mendengar pejabat atau rumah disita, tetapi rasanya belum pernah sebuah bangunan setinggi 60 tingkat disita di negara kita.


Tanpa Tun Daim, tidak mungkin tercipta sejarah sedemikian rupa.


Dalam hal berkaitan, bukanlah rahsia lagi, malah sering diperkatakan secara terbuka oleh orangramai, Tun Daim juga dikatakan mempunyai peranan penting sama ada ketika Anwar dipecat daripada kerajaan dan UMNO pada 1998 dahulu mahu pun dalam menggagalkan peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Pengerusi PH itu yang sepatutnya berlaku pada 2020 lalu.


Dengan gambaran sedemikian, tambahan lagi ketika berkempen selama puluhan tahun bersama PH dan PKR sebelum itu, malah Anwar sering menjadikan Tun Daim sebagai sasaran kecamannya atas menimbun kekayaan secara berlebih-lebihan, berita penyiataan Menara Ilham ini telah menenggelamkan semua berita yang lain.


Apakah tindakan yang dilakukan keatas Tun Daim ini sebahagian usaha Anwar membersihkan negara?


Apakah bahan bukti yang bakal diperolehi dan diangkut keluar daripada Menara Ilham selepas ini?


Apakah Tun Daim hanya akan berdiam diri atau bakal melawan?


Apakah tindakan melawan yang akan dilakukannya?


Bagaimana dengan Tun Mahathir Mohamad yang diketahui merupakan sekutu rapat kepada Tun Daim berikutan penyitaan ini?


Apakah tindakan yang bakal dilakukan bekas Perdana Menteri itu?


Selain banyak soalan lain terus terawang-awang dan menagih jawapan, persoalan akhir dan mula diperkatakan – apakah kerajaan perpaduan bakal bergegar dalam tempoh terdekat ini? – ShahbudinHusin 22/12/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/12/22/setelah-menara-ilham-milik-tun-daim-disita-sprm-apa-bakal-berlaku-selepas-ini.html