Isham Jalil akhirnya sah dipecat daripada UMNO setelah beliau sendiri menerima surat pemecatannya.
Beliau dilaporkan menerima surat pemecatannya melalui Whatsapp lewat malam semalam.
Berdasarkan surat pemecatan bertarikh 8 Disember 2023 yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Isham dipecat berkuat kuasa serta merta di bawah Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 Perlembagaan Umno.
Ini kerana tindakannya yang didakwa melanggar etika sebagai ahli UMNO.
Untuk lebih mudah difahami, Isham sebenarnya dipecat kerana tindakannya mempertikaikan keputusan parti secara terbuka dan mengkritik Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi juga secara terbuka.
Dalam erti kata lain, sebagai ahli parti, seseorang itu mesti ada kesetiaan dan kepatuhan kepada organisasi yang disertainya.
Jika mahu mengkritik dan memberi pandangan tidak setuju, ia mestilah dilakukan melalui saluran dalaman.
Lebih-lebih lagi sebagai ahli MT UMNO, Isham sepatutnya menggunakan saluran yang ada padanya untuk meluahkan pandangannya, bukan bercakap mengenainya secara bebas dan terbuka.
Dalam hal ini, saya sebetulnya lama sebelum ini lagi sudah menyarankan perlunya Isham dipecat daripada UMNO.
Kelakuannya mengkritik parti dan kepimpinan secara terbuka menunjukkan beliau tidak sesuai, bukan saja menjadi ahli UMNO, bahkan ahli mana-mana parti sekali pun.
Ahli mana-mana parti sekali pun perlu setia dan patuh kepada perlembagaan yang telah ditetapkan.
Kalau Isham menjadi ketua parti suatu hati nanti, beliau juga tentunya mahu ahli-ahli yang setia dan patuh kepada perlembagaan.
Berikut adalah artikel yang saya tulis pada 12 September 2023 lalu – https://shahbudindotcom.net/2023/09/12/isham-jalil-memang-patut-dipecat-daripada-umno.html
Memecat ahli yang tidak setia, tidak patuh kepada keputusan serta perlembagaan parti dan melawan Presiden bukanlah sesuatu yang asing.
Dalam UMNO sebelum ini, Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi dan Najib Razak tidak terkecuali daripada melakukan tindakan yang sama terhadap mereka yang menentangnya.
Dalam Pas, PKR, Bersatu, MCA dan MICjuga biasa berlaku hal yang sama.
Lebih dahsyat lagi, Mahiaddin Md Yassin selaku Presiden Bersatu malah berani memecat Tun Mahathir sebagai Pengerusi parti itu kerana bertelagah dengannya.
Pokoknya, melawan Presiden parti sendiri adalah perbuatan yang tidak selamat dalam mana-mana perjuangan sekali pun.
Semoga Isham segera dewasa dengan pemecatannya ini. – ShahbudinHusin 09/12/2023.
https://shahbudindotcom.net/2023/12/09/sudah-lama-disarankan-agar-umno-pecat-isham-jalil.html