GANU KITE


Zaidi Hassan


 Saya mempunyai kawan taulan dari Terangganu dari sekolah menengah, mereka datang dari daerah yang berbeza di Terangganu dan dengan latar belakang keluarga yang beragam. Ada yang datang dari Losong, Tanjong di Kuala Terangganu, ada yang dari Ajil dan Kuala Berang, ada yang dari Dungun dan Kemaman. Tak kiralah yang daripada Besut, kerana slang mereka sama dengan kita di Kelantan.


Dalam pergaulan yang hampir mencecah setengah abad sudah, tidak pula saya perasan yang style percakapan mereka itu kasar mahupun kesat - tidak lah pula membodoh- bodoh orang lain. Laras percakapan mereka sama dengan orang Melayu di negeri-negeri lain - kecuali sebutan 'ng' pada perkataan yang berakhir 'n' mahupun 'm', dan pada perkataan yang hujung dengan 'r' disebut dengan'u'.


Mungkin saja ada golongan kecil dari orang Terangganu yang percakapan mereka itu kasar  dan kesat, mungkin sebahagian kecil anak muda jalanan

yang tidak berpendidikan. Sukar untuk kita bayangkan seorang yang berpendidikan, apa lagi seorang yang melalui pendidikan agama bercakap dengan ratibnya " bodo" kepada orang lain, menyesatkan orang yang berbeza faham dalam soal yang remeh.


Kita semua tahu dan mahu menjunjung perentah Allah dan perentah Saiyyidina Rasulullah sollallahu alaihi wasallam supaya menjaga kata-kata kita, supaya tidak meremeh dan membodohkan orang lain. Kerana perbuatan sedemikian  adalah pembayang sikap sombong bahkan sikap takabbur. 


Islam bukan setakat mengajar kita hukum halal dan haram dalam ibadah bahkan mengajar kita akhlaq dan halal dan haram dalam muamalat sesama manusia.


Semoga kawan kenalan dari Terangganu dapat menjelas perkara ini yakni adalah lafaz-lafaz kesat seperti membodoh dan menyesatkan orang lain itu adakah kebiasaan yang memang diterima oleh orang Terangganu, kalau memang begitu maka saya lah yang naif, tidak mendalami cara percakapan orang Terangganu. Hanya saya yang menyangka saya mengenali orang Terangganu.Saya memohon maaf kepada orang Terangganu


Ada tulisan saya " Catitan Shaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani tentang Terangganu" yang telah dijadikan satu bab dalam buku " Orang Terangganu" yang disunting Prof Dr Muhammad Bakar dan diterbitkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Terangganu


Saya masih teringat ungkapan yg kerap diucap oleh rakan dari Ajil waktu di sekolah dulu : "tang setir baru ye" ( hentam sebutir baru ya [padan]),  atau gurauan kami pada rakan dari Kuala Berang " kaye raje dia, banyak nyalok dia - ceh, embuh, ceh , embuh" - dan kami ketawa bersama