BINCANG DALAM PH DULU SEBELUM BERCAKAP ISU P/RAYA PBT, PKR TEGUR DAP


 DAP perlu mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan dan bukan sekadar melontarkan idea berhubung cadangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya di ibu negara.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, berkata cadangan itu idea menarik namun apa yang lebih penting adalah libat urus dengan pihak berkepentingan.

“Maksudnya, mengapa tidak bawa bincang dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH), kemudian adakan libat urus untuk yakinkan mereka yang tidak percaya atau yang cuba menghantui orang lain, semua ini perlu ditangani.

“Bukan sekadar lontar idea, tetapi wujudkan libat urus dengan pihak berkepentingan kerana konsep yang baik kalau dimomokkan atau orang lain tidak terima, maka jadi usaha yang sia-sia,” katanya, menurut Utusan Malaysia.

Chean Chung berkata, libat urus berkepentingan itu perlu dibuat oleh individu yang menyarankan cadangan tersebut.

“Kena buat peringkat dalaman dan kemudian dengan PH, kerajaan perpaduan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat,” katanya.

Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai semasa berucap dalam Konvensyen DAP Kuala Lumpur Ahad lalu mencadangkan supaya kerajaan memulakan pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu negara.

Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya berkenaan bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.


Bagaimanapun, Umno dilaporkan menegaskan, partinya tidak akan sesekali bersetuju dengan cadangan DAP itu kerana menyifatkan ia tiada keperluan untuk dilaksanakan, sebaliknya fokus menangani ekonomi rakyat dan memakmurkan negara.

Manakala Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa pula berkata ia bukan keutamaannya ketika ini kerana terdapat perkara lebih penting untuk diselesaikan seperti pemilihan ahli jawatankuasa dan tata kelola bagi jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) atau syarikat pengurusan bagi bangunan strata di Wilayah Persekutuan.

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/12/21/bincang-dengan-ph-adakan-libat-urus-cadangan-pilihan-raya-pbt-wakil-pkr-beritahu-dap/