BERI PELUANG MAT SABU TERUS PIMPIN AMANAH, LAGI PUN PEMILIHAN TAHUN INI ADALAH PENGGAL TERAKHIRNYA


Parti Amanah Negara atau Amanah akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya pada hujung minggu ini.


Sebagaimana dilaporkan media, seramai 124 calon menawarkan diri untuk merebut 27 tempat dalam Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah bagi sesi 2023-2026.


Mengikut perlembagaan parti, kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk Presiden Amanah akan ditentukan secara konsensus oleh 27 pemimpin yang terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional itu.


Ertinya, sama ada Mohamad Sabu mampu kekal lagi atau tidak untuk memimpin Amanah adalah bergantung kepada siapa 27 pemimpin yang terpilih itu.


Secara lebih mudah untuk difahami, jika sebahagian besar daripada 27 pemimpin yang terpilih itu nanti terdiri daripada mereka yang pro Mohamad Sabu, peluangnya untuk kekal tentu saja secerah langit tanpa awan di waktu tengahari.


Tetapi, jika sebaliknya, maka bakal gelap masa depan belayar malamlah Mohamad Sabu dalam pemilihan kali ini.


Walaupun tiada kepastian yang benar-benar sahih siapa yang bakal mencabar beliau, tetapi sudah menjadi bualan yang bukan lagi rahsia bahawa Mujahid Yusof Rawa, Naib Presiden Amanah sekarang, merupakan calon yang disebut-sebut berminat untuk menerajui Amanah.


Beliau malah dilaporkan pernah menyatakan kesediaannya untuk memikul tangggungjawab lebih besar dalam parti jika memperolehi sokongan tertinggi dalam pemilihan kali ini.


Kenyataan itu menunjukkan Mujahid memang ada keinginan untuk mengambil alih kerusi peneraju Amanah yang sekarang sedang disandang oleh Mohamad Sabu.


Mengikut perlembagaan Amanah, selain pemegang lima jawatan tertinggi akan ditentukan oleh 27 orang yang terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional, seseorang itu juga hanya boleh memegang jawatan Presiden selama tiga penggal saja.


Dalam hal ini, Mohamad Sabu sudah memimpin Amanah selama dua penggal dan jika terpilih lagi kali ini, ia adalah penggal terakhir baginya.


Pada pemilihan tahun 2026 nanti, beliau tidak boleh lagi menawarkan diri untuk menerajui Amanah, sekaligus menjadikan perebutan jawatan Presiden parti itu adalah terbuka kepada sesiapa saja.


Jadi, kenapa perlu Mohamad Sabu dilawan kali ini?


Tidak bolehkah ditunggu pada pemilihan 2026 nanti di mana ketika itu beliau secara automatik berundur pergi?


Apatah lagi, jika dinilai daripada sejarah panjang perjuangan Mohamad Sabu sejak daripada Pas dan kemudian menubuhkan Amanah, selain kesetiaannya kepada PH tidak perlu dipertikaikan lagi, sumbangannya berceramah serta berkempen ke sana ke sini dalam menyokong untuk memastikan kejayaan PH dan Anwar Ibrahim, amatlah besar sekali.


Dengan itu, adalah lebih baik dikekalkan lagi Mohamad Sabu untuk memimpin Amanah untuk mengisi penggal terakhirnya.


Kepada Mujahid, jika benar ada keinginan untuk menyaingi Mohamad Sabu, lebih baik dibatalkan saja hasrat tersebut.


Beri peluang kepada Mohamad Sabu meneruskan kepimpinannya sebagai peneraju parti tanpa ditandingi bagi penggal terakhir agar Amanah kekal harmoni, bukan saja kepada parti itu, tetapi juga untuk menyumbang keharmonian kepada PH serta kerajaan perpaduan yang sedang mentadbir negara.


Bukan apa, jika pemimpin baru dipilih menerajui Amanah, pemimpin tersebut sudah tentu mahukan sama jawatan menteri yang sedang disandang oleh Mohamad Sabu selepas ini.


Tak ke kacau jadinya nanti? – ShahbudinHusin 19/12/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/12/19/beri-peluang-mat-sabu-terus-pimpin-amanah-lagi-pun-ini-adalah-penggal-terakhirnya.html