WAHAB ALAMI KEMURUNGAN MELAMPAU, TANGGUH DULU BERI KETERANGAN – PEGUAM


 Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Abdul Wahab Abdul Kadir Jailani mengalami kemurungan dan sedang mendapatkan rawatan, menurut peguamnya.

Faizal Rahman berkata, keadaan ini menyebabkan anak guamnya terpaksa menjadualkan semula pertemuannya dengan polis untuk memberikan keterangan.

Polis sepatutnya merakam keterangan Wahab semalam, berhubung video tidak senonoh didakwa memaparkan Wahab dan bekas ketua pengarah J-Kom Agus Yusoff.

Bagaimanapun, janji temu itu terpaksa dibatalkan kerana Wahab mengalami kemurungan melampau, kata Faizal.

“Pada asalnya, tarikh (Wahab memberi keterangan) ditetapkan semalam (Ahad) tetapi atas faktor kesihatan, beliau tidak dapat (berbuat demikian.

“Wahab mengalami kemurungan melampau dan sedang mendapatkan rawatan,” kata Faizal.

“Saya telah berikan komitmen kepada pihak polis (bahawa) dalam minggu ini Wahab akan berikan keterangan.”

Terdahulu, Berita Harian melaporkan pihak polis tidak dapat menghubungi Wahab dan telefon bimbitnya dimatikan, memetik Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Menjawab dakwaan itu, Faizal berkata, ini hanya salah faham kerana beliau sentiasa berhubung dengan polis.

Terdahulu dilaporkan Wahab mendakwa beliau didesak oleh seorang individu bergelar “Mr H” untuk merakam panggilan videonya dengan Agus. Bagaimanapun, kata Wahab, video itu kemudiannya disunting dan disebarkan dalam talian.


Susulan itu, polis merakam keterangan beberapa individu, termasuk Agus dan seorang lelaki dikatakan sebagai “Mr H”. Bagaimanapun, pihak polis memerlukan Wahab untuk mengesahkan identiti lelaki tersebut.

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/11/27/wahab-murung-melampau-tangguh-beri-keterangan-kata-peguam/