SUDAH 100 HARI SALAHUDDIN AYUB PERGI, KENAPA KERUSI MENTERINYA MASIH BELUM DIISI?

 

Semalam, genap 100 hari bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub meninggalkan kita semua.

Beliau meninggal dunia di Kedah pada 23 Julai lalu selepas menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah akibat pendarahan otak.

Kepada yang mengenali dan masih terkenang segala budi baiknya, marilah sama-sama kita sedekahkan Alfatihah untuk rohnya dan mudah-mudahan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman di alam yang kita semua juga akan ke sana suatu hari nanti.

Alfatihah (dibaca)….

Begitu pun, setelah lebih 100 hari beliau meninggal dunia, kekosongan jawatan menteri yang pernah dipegangnya masih lagi belum diisi sehingga kini.

Kerusi menteri yang disandangnya adalah kouta Amanah, salah satu komponen dalam PH yang sama-sama membentuk kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Amanah difahamkan sudah lama menghantar nama pengganti untuk mengisi kekosongan tersebut, malah PRK Parlimen Pulai, kerusi yang dipegang Salahuddin sebelum ini, juga telah lama selesai.

Tetapi kenapa jawatan menteri KPDN masih lagi belum diisi?

Kenapa terlalu perlahan untuk diisi dan mahu tunggu apa lagi?

Diberitakan sebelum ini bahawa khabarnya pengisian itu mahu dilakukan serentak dengan rombakan kecil yang mahu dilakulan oleh Perdana Menteri bagi memperkemaskan lagi kedudukan kabinetnya.

Malangnya, sehingga sekarang, tunggu punya tunggu, rombakan kabinet yang diheboh-hebohlan itu tidak juga berlaku, sehingga tiada lagi yang bercakap mengenainya sekarang ini.


Pun begitu, tiada rombakan kabinet tidak bererti jawatan menteri yang sudah lama kosong tidak boleh segera diisi dan mahu dibiarkan saja terus tidak terisi.

Dengan pelbagai isu timbul saban hari berkaitan harga barang, isu pengguna dan kos sara hidup rakyat, membiarkan jawatan menteri itu kosong terlalu bukanlah satu pilihan yang baik.

Dalam hal ini, jika Anwar masih tidak mahu melakukan rombakan kabinet dalam waktu terdekat, isilah kekosongan kerusi Salahuddin itu terlebih dahulu.

Lagi pun ia kouta Amanah, tidak payah dan tak mungkin susah untuk mengisinya.

Bincang dengan Abang Mat Sabu. – belum sejuk kopi pun sudah boleh selesai.

Sudah banyak terdengar rungutan daripada rakyat biasa, kakitangan awam, orang politik dan segala jenis manusia lainnya mengenai kelambatan mengisi jawatan menteri yang sudah lama kosong itu.

Benda mudah, kenapa nak dinampakkan ia terlalu payah? – ShahbudinHusin 01/11/2023.