Selesai membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) di Dewan Negara hari ini.
Saya jelaskan bahawa dokumen belanjawan ini punya visi dan kaedah untuk membimbing kita memulakan proses pemulihan dan rombakan struktur ekonomi negara, yang dibangunkan berpandu kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat serta kertas-kertas dasar utama yakni Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Industri Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.
Seperti saya sering singgung, reformasi negara - baik dari segi ekonomi dan institusi - perlu dilakukan secara beransur-ansur bagi mengelak reformasi itu menyebabkan keperitan kepada rakyat. Walhasil, asas ekonomi perlu distabilkan dahulu agar rakyat tidak terbeban sebelum menstruktur semula ekonomi secara jangka panjang.
Kerana itu pada tahun ulung pentadbiran Kerajaan MADANI, tumpuan utama Kerajaan adalah untuk mengurus ekonomi sedia ada.
Dalam pembentangan hari ini, saya maklumkan inflasi telah mereda kepada 1.8% pada Oktober 2023. Kadar pengangguran pula menurun kepada 3.4% setakat September 2023, yakni menghampiri kadar sebelum bencana wabak COVID-19.
Kita juga berjaya meraih komitmen pelaburan dengan nilai RM347 bilion sepanjang lawatan rasmi saya dan misi perdagangan dan pelaburan yang diadakan di negara seperti China, Singapura, Jepun, Korea Selatan, UAE, Arab Saudi dan Amerika Syarikat.
Setelah mencapai kestabilan ekonomi ini, sudah tiba masa untuk kita mencambah bibit-bibit reformasi yang sudah lama kita dambakan.
Saya berharap usaha-usaha yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 dan Ekonomi MADANI seperti penyasaran semula subsidi, program eMADANI dan liberalisasi visa akan mencetus proses rombakan struktur ekonomi dan institusi negara.
Insya-Allah, Kerajaan akan mengetengahkan lebih banyak usaha reformasi pada masa hadapan.
#MalaysiaMADANI