Kongres Nasional KEADILAN pada 25 dan 26 November ini mencatat
sejarah tersendiri apabila diadakan buat pertama kali dalam keadaan KEADILAN
menerajui pemerintahan Malaysia melalui Perdana Menteri (PM) ke 10, Datuk Seri
Anwar Ibrahim.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, kongres kali
ini begitu bermakna kepada imej parti berbilang kaum seperti KEADILAN yang buat
pertama kalinya diterima memimpin negara yang sarat dengan pertentangan
perkauman sejak 60 tahun merdeka.
"Seingat saya, dalam tempoh hampir 25 tahun umur parti inilah
kali pertama Kongres Nasionalnya diadakan di pusat pentadbiran Kerajaan
Persekutuan di Putrajaya.
"Ini memberi petunjuk yang bermakna bahawa parti KEADILAN
yang lahir, membesar dan mendewasa hampir suku abad ini, kini sedang berada di
kemuncak kuasa apabila parti ini bersama-sama parti lain berjaya membentuk
sebuah Kerajaan dengan Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri
ke 10 Kerajaan Persekutuan.
"Ini juga buat kali pertama dalam sejarah Malaysia, seorang
presiden sebuah parti pelbagai kaum dan pelbagai agama iaitu KEADILAN berjaya
menjadi Perdana Menteri Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Hassan dalam pada itu mengimbau sejarah Anwar yang penuh liku
mendaki dan menurun untuk menjadi orang nombor satu dalam politik Malaysia.
Katanya, Anwar yang pernah menjadi Timbalan Presiden UMNO dari
tahun 1993 hingga 1998 tidak berjaya melangkah setapak ke atas menjadi PM
apabila dipecat dari jawatan Timbalan PM oleh Tun Mahathir Mohamad pada tahun
1998.
Namun hampir 25 tahun kemudian iaitu pada 24 November 2022, Anwar
berjaya menjadi PM dan akan meraikan ulang tahun pertama jawatannya pada Sabtu
ini.
"Jadi Kongres Nasional KEADILAN pada Sabtu di Putrajaya
adalah satu perjalanan panjang atau "Long March" yang menjadi bukti
bahawa hanya parti politik yang mempunyai teras matlamat perjuangan yang jelas
disokong oleh semangat gigih, cekal, tabah dan berazam keras sahaja akan
berjaya. Dan Parti Keadilan Rakyat telah pun membuktikannya," kata beliau.
Bagaimanapun, tegas Hassan, kongres yang diadakan genap setahun
Kerajaan Perpaduan memerintah itu bukanlah semata mata untuk berpesta meraikan
kejayaan, sebaliknya untuk mengenalpasti cabaran berat yang menanti KEADILAN
dan rakan komponen lain menakhodai kerajaan yang masih belum bebas daripada
daulah terpendam, korupsi serta cabaran membabitkan isu perkauman, raja dan
agama sempit.
"Terdapat cabaran sangat besar sedang dipikul oleh seluruh
kepimpinan parti KEADILAN dan anggotanya. Tanggungjawab untuk menjadi sebuah
kerajaan yang berjaya tidak terletak di atas bahu PM Anwar Ibrahim seorang diri
sahaja.
"Berjaya menjadi kerajaan di Putrajaya bukanlah satu titik
akhir bagi perjuangan KEADILAN. Sebaliknya ia adalah satu titik permulaan satu
perjuangan politik yang memasuki satu fasa baharu, untuk melaksanakan segala
janji dan segala manifesto yang telah dideklarasikan kepada rakyat sepanjang
tempoh perjuangan selama ini," kata Hassan lagi.
Belau berharap kongres kali ini akan menemui solusi bagi
memantapkan KEADILAN dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Putrajaya untuk
lebih memberi kenikmatan hidup kepada rakyat yang telah berdekad menghadapi adu
domba politik yang tidak menguntungkan.