Gelora dalam Bersatu apa haluan Pas?
KHUTBAH
TINDAKAN empat orang ahli Parlimen Bersatu yang mengisytihar
menyata menyokong kerajaan
Perpaduan dan perdana menteri Anwar Ibrahim, sama ada bermoral atau
tidak, ia telah jadi satu masalah kepada parti itu khasnya dan PN amnya.
Tindakan itu menyebabkan PN kini di tempuh badai dan bahan gelora. Dalam kata
lain, ada keretakan yang serius dalam PN. Jika ibarat kepada sebuah kapal PN kini
teroleng-oleng hilang haluan.
Perikatan Nasional retak? |
Malam tadi Bersatu terpaksa membuat mesyuarat tergempar
membincang kejadian berkenaan. Antara diputuskan malam tadi parti itu bercadang
untuk membawa kejadian itu kepada SPRM dan polis serta menuntut kepastian
apakah tindakan mereka itu melanggar akta anti lompat parti atau tidak.
Dalam kenyataan awal
presiden Bersatu, Mahiaddin Yassin beliau cuba memberi gambaran keadaan empat
ahli parlimen Bersatu itu diselamatkan oleh Speaker yang tidak ada wibawa atau
berpandangan berat sebelah.
Rasanya tidak perlu beliau mengait dan menjadikan Speaker
sebagai kambing hitam bagi mengharamkan tindakan wakil itu kerana akta anti
lompat adalah undang-undang diluluskan parlimen dan mahkamah sahaja boleh
mementukannya. Kuasa mahkamah mengatasi kuasa Speaker. Mana mungkin Speaker interfere dalam
hal ini.
Apa pun yang boleh
ditafsirkan dengan kejadian itu, bahawa PN kini dilanda krisis keyakinan
anggota mereka (MP) sendiri kepada kepimpinan koalisi berkenaan. Empat wakilnya
itu bakal menjadi pandemik membahayakan yang boleh merebak.
Memaling sokongan.
Dengan menjadikan alasan
tindakan mereka itu demi rakyat dan untuk mendapat peruntukan untuk kawasan
parlimen masing-masing, empat ahli parlimen Bersatu itu memalingkan sokongan
dari PN kepada pembangkang. Bahawa sudah timbul keraguan dalam kalangan wakil
rakyat mereka sehingga ada yang mengubah sikap. Itu hakikatnya.
Mereka ialah ahli
parlimen Kuala Kangsar (Iskandar Dzulkairnain Abdul Khalid), Labuan (Suhaili
Abdul Rahman), Gua Musang (Mohamad Azizi Abu Naim) dan
Jeli (Zahari Awang Kecik). Walaupun mereka masing-masing menyatakan
kesetiaan kepada parti, tetapi hakikatnya mereka tidak lagi bersama Bersatu.
Sekaligus tindakan mereka itu mengurangkan jumlah pembangkang dari 74 kerusi
kepada 70, dan menambah kepada kerajaan dari 147 menjadi 151.
Pihak Bersatu cuba
menjustifikasi peralihan sokongan empat MP itu sebagai satu pencabulan kuasa
dan ada manipulasi politik. Kononnya mereka berempat itu telah dipengaruhi dan
ditawar dengan kebendaan. Tuduhan itu sangat dangkal, sengaja mahu merendahkan
moral keempat wakil rakyat itu sahaja.
Lantas Bersatu bercadang
untuk mengemukakan masalah itu kepada SPRM dan pihak polis. Bahkan diugut sama
mereka juga akan melaporkan SPRM kepada SPRM kerana mengsyaki ada kakitangan
SPRM berselingkuh. Sebenarnya cadangan itu tidak lebih daripada untuk dikatakan
bahawa Bersatu tidak berdiam diri dengan kemelut itu, sedangkan tindakan itu
tidak akan memberi apa-apa dampak.
Walaupun kedudukan mereka
dalam parti masih samar, namun tindakan bakal dikena oleh parti dengan
mengambil tindaklan disiplin, dan sudah ada yang sudah digantung menunjukkan
keempat orang ahli parlimen itu sudah mengucap selamat tinggal kepada Bersatu.
Bersatu tidak dapat berbuat apa-apa pun kerana akta anti lompat parti tidak
berlaku kepada mereka. Sementara langkah Bersatu hendak melaporkan kepada SPRM
dan polis ia tidak lebih usaha menjustifikasikan kejadian itu sahaja, untuk
menunjukkan yang mereka tidak berdiam diri.
Yang jelas perilaku tindakan mereka itu memberi beberapa implikasi
kepada Bersatu dan PN. Tindakan itu benar-benar memukul Bersatu dan PN. Bagi
Bersatu tindakan mereka itu menggambarkan mereka hilang kepercayaan dan
keupayaan presiden mereka Mahiaddin Yassin yang sebelum ini beriya-iya
mengatakan mereka akan kembali berkuasa dan menjatuhkan kerajaan Perpaduan.
Apabila setelah lebih
sembilan bulan kerajaan Perpaduan tidak berjaya digugat dan Mahiaddin masih
belum dipanggil ke Istana untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri
seperti dicanang-canangkan wajar kalau ada orang mulai meragui keupayaannya
itu. Dan bagi empat wakil itu jalan terbaik dengan meninggalkan parti.
Tiada ada guna menunggu sesuatu yang tidak hadir. Tepatlah kalau mereka
bertindak demikian kerana bagi mereka lebih obses tentang nasib dan kepentingan
rakyat ketimbang diri sendiri.
Rakyat tidak hanya cukup
dijamu dengan janji dan dihiasi dengan lauk pauk retorik dan mimpi-mimpi molok
untuk jadi kerajaan. Rakyat tidak boleh menangguhkan agar keperluan mereka
dipenuhi. Masa berlalu dari minggu ke minggu bulan ke bulan, sedangkan perut
dan tuntutan hidup diperlukan. Jeritan kehausan pembangunan rakyat di bawah
sana kian lantang dan terdesak. Justeru mereka penaka wakil rakyat harus
memikir dan menindakkan sesuatu. Tindakan menyokong kerajaan itu adalah tepat.
Apa yang berlaku itu adalah
elok kalau Mahiaddin juga bermuhasabah merenung ke dalam diri apakah dia masih
layak dan berkemampuan untuk terus memimpin parti? Tiada guna jadi presiden
kalau kita sudah hilang kepercayaan dan keyakinan. Walaupun tindakan empat
orang itu tidak ramai, tetapi ia memberi kesan bahawa Bersatu dan PN sedang
mengalami keretakan serius. Mahiaddin perlu melakukan sesuatu yang lebih
praktikal.
Sebaik-baik sikap diambil
Mahiaddin ialah berdamai dengan kerajaan. Serah diri dengan melakukan ceasefire.
Jika beliau melakukan itu beliau akan dihormati dan disokong rakyat. Perdamaian
itu boleh dilakukan dalam apa sahaja bentuk setidak-tidaknya untuk menimbus
kemaluan yang sudah melata di muka kini. Sebaik-baiknya mengadakan MoU dengan
kerajaan Perpaduan meniru seperti mana dilakukan PH semasa menjadi pembangkang
dahulu menanda tangani MoU dengan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Ismail
Sabri Yaacob.
Mahiaddin dan Bersatu
serta PN berhentilah bermimpi untuk mengambil alih kerajaan. Ketahui dan
insaflah hari sudah siang. Ia akan menjadi sulit bukan sahaja kerana ahli
parlimen mereka telah hilang kepercayaan dan keraguan, namun ia akan terus
terhalang apabila dengan keyakinan rakyat sendiri hari ini kepada kerajaan
Perpaduan, Malaysia Madani kian diterima.
Kesan kepada Pas.
Langkah empat ahli
parlimen itu turut memberi kesan sama kepada Pas. Tentu ia juga mengejutkan Pas
yang selama ini dberikan janji kosong oleh Bersatu untuk mengambil alih
kerajaan secara tidak bermoral sekali lagi. Bagaimana Pas melihat tindakan
berkenaan? Apakah mereka tidak bimbang dan ragu atau pun masih berkeyakinan PN
akan berjaya menggugat kerajaan Perpaduan.
Sebagai sebuah parti
politik yang mempunyai iltizam untuk menguasai kerajaan, Pas tidak boleh meriba
tangan melihat kejadian itu tanpa mencari formula atau mengagaskan sesuatu
politik baru. Pas perlu berfikir ke hadapan dengan lebih jauh serta memikirkan
beberapa kemungkinan akan berlaku. Misalnya Pas perlu meletakkan pertanyaan
dalam minda mereka, apakah tidak mustahil Bersatu akan berkolaborasi dengan
kerajaan, mengambil sikap berbaik dengan musuh selepas gagal menewaskannya.
Pas kena fikir perkara
ini. Sebelum Pas dimainkan, Pas harus membuat persiapan diri. Pas harus kebal
dengan kemungkinan-kemungkinan politik. Dalam politik tidak ada kesetiaan, dan
perjanjian dalam politik bukan untuk ditunai tetapi untuk dimungkiri.
Ingat.
Dalam hal ini Pas juga
secara senyap atau terbuka harus menyemak kembali wibawa Mahiaddin sebagai
pengerusi PN. Mesti ada sesuatu yang kurang atau tidak disenangi dan
ketidak-mampuannnya apabila ditungging punggung oleh ahli sendiri walaupun
tanpa penyertaan mereka.
Politik umpama sebuah
kenderaan awam yang dinaiki pelbagai penumpang. Ia akan bergerak mengikut masa
dan jadualnya. Mana-mana penumpang yang terlambat atau bermasalah ia akan
ditinggalkan. Nah begitu juga dengan Bersatu ia adalah penumpang kepada
kenderaan awam yang akan memikirkan dirinya daripada penumpang yang lain.
Bersatu tidak sanggup ketinggalan sama dengan penumpang lain (Pas). Sebagai
penumpang Pas harus berfikiran positif.
Justeru Pas perlu menilai
kembali keberadaannya dalam PN. Renung dan kaji apakah untung dan ruginya. Apakah
kelabaan kalau ia meninggalkan Bersatu dan menyokong kerajaan. Fikir dan
selidik apakah kerugian kalau terus bersama Bersatu dan kekal menentang
kerajaan?
Ukuran atau perkara yang
perlu dijadikan ukuran dan perioriti kepada Pas ialah nasib rakyat, terutamanya
dalam kawasan negeri dikuasai mereka. Mungkin rakyat di kawasan dimana negeri
dikuasai Pas, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis tidak akan menghadapi
kesulitan seperti rakyat di kawasan di luar negeri-negeri itu. Sekiranya dengan
terus menentang kerajaan dan kekal berkolabrasi dengan Bersatu merugikan Pas,
Pas harus melakukan sesuatu yang munasabah dan drastik.
Pas tidak akan rugi
apa-apa kalau ia membuat penilaian semula dengan Bersatu. Bahkan tindakan itu
dikira berpandangan jauh. Itulah political will namanya. Pas
kena yakin kepada keupayaan parti berkenaan yang punyai potensi. Pas kena sedar
selama ini yang menghidup atau mengelombangkan sokongan rakyat kepada PN ialah
Pas bukannya Bersatu. Bersatu hanya menumpang "tui" Pas semata-mata. Menjadi
unta atau keldai itu baik, tetapi ia tidak begitu membahagiakan kalau
selama-lama dijadikan haiwan tunggangan kerana ia terbatas jua dengan usia dan
keadaan.
Atas realiti itu dan
potensi yang ada Pas mampu bergerak sendiri menjadi parti alternatif kepada
mana-mana parti memerintah Keadilan atau Umno. Pas tidak perlu bergantung
kepada mana-mana parti. Apakah Pas sedar nilai dan kekuatan yang satu ini ada
kepadanya? Pas kadang-kadang tidak sedar potensi diri dan kekuatan yang ada
kepadanya, kerana ia dinaungi oleh individu yang oportunis menguasai parti
berkenaan.
Kesimpulan perkembangan
yang "lembam" dalam Bersatu sekarang ini Pas perlu sedari dan peka.
Pas jangan sekali lagi terlepas akibat kurang cekap membaca kompas dan iklim
politik. Tokoh-tokoh muda/pelapis dalam parti agama itu seperti Ahmad Samsuri
Mokhtar, Sanusi Mohd Noor, Dr Zuhdi Marzuki, Afnan Taib dan lain-lain
perlu bangkit dan berani menyatakan "tesis" politik masing-masing.
Mereka tidak perlu terus menjadi pandir kepada ludah-ludah presiden
semata-mata.
Muhamad Sayuti Omar