Suara Lantang Anwar Bela Rakyat Palestin Bergema Dalam, Luar Negara




 Oleh: Noraini Nordin



ANALISIS: Selepas mengakhiri jadual yang padat dalam lawatan rasmi ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak antara Negara-Negara Teluk (GCC) dan ASEAN, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seterusnya mengadakan pula lawatan singkat ke Turkiye dan Mesir sebelum berlepas pulang ke tanahair.



Anwar dijadualkan tiba di tanah air pada Selasa pagi.



Di Arab Saudi, selain menghadiri sidang tersebut, Anwar juga mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud di Istana Yamamah, Riyadh.



Dalam kedua-dua acara itu, isu Palestin dan isu kemanusiaan akibat perang di Gaza merupakan agenda yang terus disuarakan oleh Anwar untuk diberi perhatian oleh semua.



Beliau mengajak semua pihak agar berusaha menghentikan peperangan di Palestin yang kesannya hanya membawa kesengsaraan kepada warganya, terutama kanak-kanak, wanita dan warga tua.



Demi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia - Arab Saudi pula, Anwar turut mempelawa Mohammed Salman melawat negara ini dan ia dijangka akan berlangsung pada Januari, tahun depan.



Di Turkiye selepas mengakhiri lawatan ke Arab Saudi, Anwar telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Recep Tayyib Erdogan selama hampir dua jam.



Perbagai isu dua hala dan kepentingan bersama diangkat sebagai topik perbincangan dalam pertemuan tersebut dan tentunya isu Palestin tidak terkecuali.



Description: https://static.wixstatic.com/media/4449e2_826f2a40f1974931bfdc88681cab4881~mv2.jpg/v1/fill/w_660,h_660,al_c,q_85,enc_auto/4449e2_826f2a40f1974931bfdc88681cab4881~mv2.jpg



Dalam perbincangan itu, Anwar dan Erdogan sama-sama memberi tumpuan besar kepada permasalahan kemanusiaan warga Palestin yang dinafikan hak mereka oleh regim Israel.



Anwar turut menyatakan pendirian Malaysia menyambut baik pembukaan koridor kemanusiaan di pintu masuk Rafah-Semenanjung Gaza sejak dua hari lalu dan bersedia bekerjasama dengan Turkiye serta negara-negara sehaluan bagi mencari titik noktah kepada isu penindasan ke atas warga Palestin.



Dalam waktu yang sama, Anwar bertegas bahawa Malaysia tidak berganjak daripada pendiriannya dalam mengutuk sikap hipokrit negara-negara Barat dalam isu Palestin ini.



Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan 2024, beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pemberian bantuan RM10 juta sebagai dana awal kepada Tabung Kemanusiaan Palestin.



Beberapa hari kemudian, tabung tersebut telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM81 juta, menghampiri sasaran yang ingin dicapai iaitu RM100 juta.



Malam esok, 24 Oktober, beberapa jam selepas menjejakkan kaki dalam negara, Anwar sekali lagi akan memperdengarkan suara lantang dan tegas Malaysia berkaitan isu Palestin dalam program Himpunan Malaysia Bersama Rakyat Palestin.



Program itu akan diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil bermula jam 7.30 malam.



Pemimpin-pemimpin pelbagai parti politik dan NGO dijangka terlibat dalam himpunan tersebut dan acara kemuncak ialah ucapan oleh Perdana Menteri.



Pendek kata, dalam isu Palestin ini, suara dan keprihatinan Anwar telah bergema di mana-mana dan ia akan terus kedengaran sampai bila-bila sebagai pemimpin Malaysia yang konsisten membela nasib rakyat Palestin.



_________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.

·         Berita

0 comments

1 like. Post not marked as liked