1. Ketika saya diamanahkan sebagai Menteri bertanggungjawab ke atas TH April 2018, kedudukan kewangan TH dalam keadaan defisit RM4 Bilion antara aset dan tanggungan seperti dilaporkan oleh laporan audit 2017. Pada Disember tahun sama setelah dibuat nilai rosot sebenar (impairment) oleh pengurusan baharu jurang defisit meningkat kepada RM10 Bilion.
2. Masalah pertama saya ialah bagaimana saya akan keluarkan Hibah (dividen) tahun itu dalam keadaan tanggungan (liability) melebihi aset. Isu kepatuhan akta perlu dipenuhi kerana syarat keluar hibah ditetapkan ialah aset perlu melebihi tanggungan dan perlu ada keuntungan (Seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995).
3. Kepatuhan kepada akta adalah keutamaan saya kerana saya perlu lunaskan tanggungjawab kepada seluruh 9 juta pendeposit ketika itu supaya TH patuh undang2. Sejak 2015 pematuhan kepada Seksyen 22(3)(a) tidak diikuti dan pernah ditegur oleh Bank Negara dan laporan Audit.
4. Setelah membuat penilian semula semua aset TH maka dikenal pasti nilai semasa aset sakit antara boleh alih (saham) dan tetap adalah hampir RM1O Bilion. Kerajaan melalui syarikat SPV (Special Purpose Vehicle) di bawah Kem. Kewangan diPerbadankan telah menilai harta sakit dengan harga premium RM20 Bilion sebagai nilai perpindahan dari TH ke SPV melalui pemberian sukuk. Keputusan untuk selamatkan TH dari terus dalam keadaan defisit saya bentangkan kepada kabinet pada tahun 2018 dalam kertas jamaah menteri bawah pelan penstrukturan semula. Pelan ini antara lain memohon aset sakit/rugi (underperforming assets) TH dipindahkan kepada SPV bawah MoF (Inc) bagi mengelak terjejasnya aset lain yang menguntungkan.
5. SPV menerima aset RM20 Bilion dengan menerbitkan sukuk kepada TH dan dengan itu jurang aset dan tanggungan berjaya ditutup dengan lebihan 1 Bilion. Bagi tahun 2018 hibah patuh undang-undang bernilai 1.25% berjaya diagihkan sejak ia dilanggar pada tahun 2015. Tohmahan aset dijual dan dilelong kepada Cina menjadi mainan politik jijik dari tahun 2018-2022. Kes Mahkamah Dasuki vs Mujahid dalam isu aset TH dijual kepada Cina berjaya dipatahkan dengan penghakiman peringkat Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi berpihak kepada Mujahid dan ternyata jual aset ke Cina satu kenyataan fitnah sekaligus mematikan serangan jahat dan keji pihak tertentu untuk tujuan politik sempit perkauman dan agama.
6. Alhamdulillah pada 29hb Sept. 2023 PMX telah menjelaskan apa yang saya sebut dan pertahankan selama ini bahawa tujuan perpindahan aset ke SPV atas nama Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) adalah usaha menyelamatkan kewangan TH yang gawat ketika itu dan kerana tindakan tersebut aset berdayamaju yang lain dapat dijana dan pada tahun berikutnya hibah patuh undang2 dikeluarkan lebih baik iaitu 3.05% dan seterusnya 3.10%.
7. Kenyataan PMX itu menandakan 2 perkara iaitu kewangan TH dan pengurusannya berjaya diperbetulkan dan dibaiki melalui pelan penstrukturan semula 2018-2020. Apa yang diumumkan oleh PMX ialah kini TH berada dilandasannya yang betul semula setelah fasa kritikal 2018-2020 berjaya dilaksanakan di sebalik fitnah dan tohmahan jahat pembangkang ketika itu.
8. Seperkara lagi terbenamlah sudah segala fitnah aset TH dijual dan dilelong sedangkan selama ini ia berada dalam jaminan selamat kerajaan dan dipegang penuh amanah memeliharanya sebagaimana didedahkan oleh PMX dalam majlis sambutan 60 tahun TH.
Alhamdulillah, kita diuji dengan kesabaran untuk mempertahankan kebenaran. Firman Allah,
"Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan" (Al Nahlu : 127)
Yb Datuk Seri Sen. Dr. Mujahid Yusof Rawa
Ahli Dewan Negara
Naib Presiden Amanah
30hb Sept 2023