Dakwaan pembangkang kononnya kerajaan telah menyasarkan subsidi serta mengurangkan peruntukan adalah tidak benar kerana peruntukan untuk subsidi kepada rakyat telah meningkat.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam jawapan kepada soalan tambahan Ahli Parlimen Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN – Pendang) mengenai jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan pada sesi tanya jawab PM hari ini.
“Kos subsidi dari RM60 bilion sekarang telah mencecah RM81 bilion. Sebahagian kecil adalah sebab soal nilai atau kos import yang meningkat terutamanya makanan. Ini kita harus ada dasar baharu untuk menanganinya.
“Kita akan ikhtiar sedaya upaya untuk kurangkan beban rakyat di bawah yang terkesan dengan senario ekonomi sekarang dan juga dunia,” katanya.
Mengenai dakwaan golongan M40 tidak terbela akibat dasar subsidi bersasar sebagaimana ditanya, PM berkata hal itu tidak benar.
Katanya, golongan M40 dan T20 bawah juga dibantu oleh kerajaan kerana mereka dianggap terkesan dengan kenaikan kos kehidupan.
“Kita kena ada satu langkah, dasar yang kita sebut rasionalisasi subsidi. Kita sebut mulanya Tabung Haji. Tetapi pengurangan subsidi itu tidak langsung melibatkan M40 dan B40.
“Hanya kalangan dianggap amat kaya untuk menunaikan haji dan tidak memerlukan subsidi kerajaan (dikecualikan subsidi). Selain itu, seperti disebut menteri agama 400 orang secara sukarela untuk mendapat haji mabrur mereka tidak mahu subsidi kerajaan.
“Hal sama melibatkan subsidi elektrik. Tidak mungkin kerajaan mahu mengenakan tarrif elektrik yang lebih tinggi kepada golongan M40. Malah dasar kementerian, T20 peringkat rendah pun tidak dikenakan (rasionalisasi subsidi). Begitu juga dalam kes kes lain.
“Ini kita akui kos sara hidup jadi masalah dan rakyat terkesan. Ada beberapa langkah saya akan umumkan pada Jumaat (Belanjawan 2040) ini untuk mengurangkan (beban kehidupan),” katanya lagi.