Adrian Lim Chee Ann
Berdekad lamanya warga Falastin diseksa. Begitu lama jugalah perjuangan Falastin sehingga ke hari ini. Kadang-kadang tertanya-tanya juga, bagaimana sebuah bangsa yang ditekan begitu zalim sebegitu lamanya masih gagal mencapai kejayaan?
Apakah kerana pemimpin-pemimpin yang dikatakan membela dan memperjuangkan Falastin ini hanya mengkudakan Falastin semata-mata untuk sokongan politik?
Di manakah kesepakatan di antara pemimpin-pemimpin yang dikatakan memperjuangkan Falastin?
Lipatan sejarah "Perang 6 Hari" yang berlaku pada Jun 1967 memperlihatkan Israel bertempur dengan gabungan negara-negara Arab seperti Mesir, UAE, Jordan, Saudi, Kuwait, Lubnan dan Pakistan.
Perang 6 Hari itu memperlihatkan tentera Israel yang jauh lebih kecil bilangannya berbanding gabungan negara-negara Arab, telah menang besar dan menawan kawasan-kawasan yang lebih besar.
Perang 6 Hari itu juga memperlihatkan kehilangan nyawa yang jauh lebih besar di belah gabungan Arab.
Bagaimana itu boleh berlaku?
Menurut pakar sejarah, Israel menang besar kerana gabungan negara-negara Arab tidak sepakat dan musykil serta prasangka buruk di antara satu sama lain.
Akhirnya musuh yang nak dilawan itu ambil kesempatan dan meraih kemenangan.
Di Malaysia, di kala warga Falastin dicincang dan dizalimi, sepatutnya seluruh negara sepakat dan menyuarakan sokongan Malaysia secara kolektif terhadap Falastin.
Namun, ada pihak yang mulutnya melaungkan "Viva Palestin" dan bibirnya mengungkap "Allahuakbar", gerak kerjanya tidak seiring.
Yang dibuat ialah reka fitnah untuk menjatuhkan pemimpin lain, semata-mata nak nampakkan partinya "lebih memperjuangkan Falastin".
Contohnya menyunting gambar di luar konteks bagi tujuan membina persepsi kononnya kerajaan ini kerajaan pro-Israel.
Contohnya mempertikai pimpinan kerajaan tidak cukup lantang perjuangkan Falastin.
Apa sebabnya pemimpin-pemimpin yang dikatakan memperjuangkan Falastin tetapi gagal berkuasa pada penggal ini, tidak boleh menyokong sahaja usaha kerajaan agar pendirian Malaysia sebulat suara dan lebih kuat?
Pendirian dan suara rasmi Malaysia di peringkat global ialah suara kerajaan. Bukan suara pembangkang. Maka sekiranya puak-puak pembangkang gagal mentadbir pada penggal ini, sokong je lah pendirian dan suara kerajaan.
Pasal apa sementara kerajaan nak suarakan lendirian tentang Falastin, puak-puak ini pula berusaha gigih kacau daun untuk melemahkan usaha tersebut?
Nak tanya sat. Musuh sebenar orang-orang ini sebenarnya Israel atau seteru politik kat dalam Malaysia?