Kita bukan musuh, kena adil beri peruntukan, Hadi beritahu kerajaan
Presiden PAS itu berkata dalam Islam adalah wajib berlaku adil walaupun terhadap musuh.
KUALA LUMPUR: Hadi Awang (PN-Marang) menggesa kerajaan berlaku adil kepada pembangkang termasuk diberikan peruntukan sama rata kerana kedua-dua pihak bukannya musuh.
“Berlaku adil lah. Dengan musuh (juga perlu) berlaku adil.
“Ini kita kerajaan dengan pembangkang bukan musuh. Bukan musuh dengan musuh diwajibkan berlaku adil,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.
Hadi juga menyelar tindakan kerajaan yang menekan pembangkang dengan membuat tuduhan palsu termasuk menggeledah pejabat dan rumah pemimpin tertentu.
“Bertindak terhadap orang yang menentang. Kalau tentang (kerajaan), geledah pejabat, rumah dan geledah macam-macam (sehingga) jadi kes (mahkamah).
“Kalau yang kawan sebelah macam-macam DNAA (lepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah). Yang sudah dikenakan hukuman diampunkan dan dibebaskan. Mungkin DNAA sama,” katanya.