Tekad teruskan perancangan Allahyarham Johari - Calon BN Pelangai


Pengundi DUN Pelangai akan mendapat perkhidmatan terbaik berikutan janji calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai untuk merealisasikan pelbagai perancangan yang belum disempurnakan oleh bekas ADUN Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terbunuh dalam nahas kapal terbang pada Ogos lalu.


Calon BN Datuk Amizar Abu Adam berkata, beliau juga akan menambah baik perancangan yang telah dibuat, khususnya untuk generasi muda.


"Perancangan yang Allahyarham laksanakan kita akan teruskan. Kita dah dengar banyak perkara yang dibentangkan Allahyarham dan inilah agenda kita yang akan kita teruskan, kita ingin lakukan di DUN Pelangai.


"Juga tambahan (program) anak muda. Banyak dari program anak muda ini untuk memberikan peluang kepada mereka. Itu manifesto tambahan (PRK)," katanya ketika ditemui wartawan sebaik sahaja selesai proses penamaan calon.


Calon BN, PN dan Bebas disahkan merebut kerusi DUN Pelangai

Terdahulu, Datuk Amizar diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon PRK DUN Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Bentong.


Beliau ditentang oleh Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Bentong, Kasim Samat mewakili PN dan Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).


PRK pelangai diadakan berikutan kematian Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat jet peribadi di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.