Rancangan Malaysia Ke (RMK) 12 akan dijajarkan semula dengan wawasan Ekonomi MADANI.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Tambun) berkata RMK12 yang memperuntukkan RM400 bilion bagi membiayai projek pembangunan sambungan dan baharu untuk tempoh 5 tahun, bagaimanapun, katanya, bagi tempoh dua tahun yang pertama, prestasi perbelanjaan sebenar hanyalah 34%.
Pada tahun 2021, kata PM, jumlah perbelanjaan pembangunan sebanyak RM64.3 bilion, sementara pada tahun 2022 jumlahnya adalah sebanyak RM71.6 bilion.
"RMK12 akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi MADANI, yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh sepuluh tahun.
"Justeru, Kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi tahun 2023 hingga
2025.
"Ini bermakna, Kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12, dan menambah siling sebanyak RM15 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhannya RM415 bilion.
"Peningkatan ini adalah bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat," katanya dalam pembentangan kajian separuh penggal (KSP) RMK12 (2021 - 2025) di Dewan Rakyat sesi pagi.
Menurut PM lagi, anjakan dasar baharu pula akan menumpukan menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih, serta meneraju ekonomi Islam
"KSP RMK12 akan menyemak semula dasar, strategi dan sasaran secara menyeluruh dengan mengambil kira kesenjangan
pembangunan kota, desa dan pedalaman dan juga miskin-kaya yang masih wujud, hutang yang membengkak, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan," katanya lagi.
Selain menghapuskan kemiskinan tegar anjakan dasar baharu juga mengutamakan Reformasi Struktur Ekonomi kepada bidang seperti Industri Peralihan Tenaga, Industri Digital, E&E bernilai tinggi (seperti Infineon), Keterjaminan Makanan dan Industri Nadir Bumi
Kerajaan juga akan menerajui Ekonomi Islam dengan tumpuan kepada halal dan toyyiban serta inovasi Kewangan Islam selaras dengan prinsip Maqasid Syariah dan keadilan. Terutama tumpuan kepada eksport perkhidmatan seperti perkhidmatan global dan industri kreatif, aeroangkasa serta pelancongan.