PENJELASAN SPRM BUKTI SIASATAN BERKAITAN RADZI JIDIN BUKAN REKAAN


SPRM akhirnya tampil menjelaskan bahawa siasatan pihaknya ke atas projek per­cetakan buku bernilai RM80 juta yang dikaitkan dengan bekas Menteri Pendidikan, Radzi Jidin sebenarnya telah bermula sejak kira-kira sebulan lalu, iaitu pada Ogos lagi.


Serentak dengan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menafikan siasatan kes tersebut berikutan adanya arahan daripada pihak atasan dalam kerajaan.


Beliau turut menafikan siasatan dijalankan disebabkan pertelingkahan antara Radzi dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Parlimen pada 19 September lalu.


“Kita telah mulakan siasatan membabitkan kes ini kira-kira sebulan sebelum ini. 


“Laporan yang dibuat oleh sekumpulan individu baru-baru ini hanya maklumat tambahan yang boleh diambil kira SPRM,” katanya sebagaimana dipetik daripada sebuah portal.


Setakat ini, lima saksi te­lah diambil keterangan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung projek percetakan buku itu.


Kesemua keterangan saksi itu diambil selepas dua individu termasuk bekas Setiausaha Politik Radzi ditahan SPRM pada 22 September lalu.


Selain Radzi sendiri dijangka akan dipanggil oleh SPRM dalam masa terdekat ini untuk membantu siasatan, beliau dalam sidang medianya juga menyebut siasatan berkaitan kes tersebut adalah berikutan kejadian di Parlimen pada 19 September lalu itu.


Banyak pihak pro PN tidak terkecuali turut beranggapan yang sama iaitu siasatan tersebut sebagai tindak balas Anwar terhadap Radzi selepas kedua-duanya bertelingkah di Parlimen.


Tetapi, dengan penjelasan SPRM bahawa siasatan sebenarnya telah bermula sejak Ogos lagi, bermakna segala tohmah dan fitnah yang disebarkan selama ini adalah tidak benar sama sekali.


Kalau ikut logik pun, memang tohmah dan fitnah yang cuba mengaitkan siasatan SPRM itu sebagai misi balas dendam atas insiden di Parlimen sesuatu yang tidak masuk akal langsung untuk difikirkan.


Ini kerana penahanan bekas Setiausaha Politik Radzi bersama seorang ahli perniagaan dilakukan SPRM pada 22 Septemer, manakala insiden pertelingkahan Radzi dengan Anwar berlaku tiga hari sebelum itu iaitu pada 19 September.


Di mana logiknya dalam tempoh hanya tiga hari boleh dicipta atau direka sesuatu kes terhadap Radzi?


Sudah tentu, sebab utamanya ialah kes memang sudah ada dan sedang dalam siasatan SPRM.


Cuma, penahanan bekas pwgawainya yang berlaku tiga hari selepas pertelingkahan di Parlimen itu adalah suatu kebetulan semata-mata.


Jika tidak berlaku pertelingkahan di Parlimen pun pada 19 September itu dan memandangkan siasatan telah dimulakan sejak Ogos lagi, penahanan dua individu berkenaan pada 22 September barangkali tetap akan berlaku juga.


Tetapi, amat mustahil untuk mewujudkan suatu kes semata-mata kerana berlakunya insiden di Parlimen pada 19 September dan kemudian melakukan penahanan pada 22 September.


Apa pun, jika tiada rasuah, tiada salah guna kuasa dan tiada penyelewengan berlaku, jangankan sebagai menantu ulama besar, orang kecil di tepi jalan pun tidak perlu berasa ada walau sedikit rasa cemas dan takut untuk menghadapinya.


Lawanlah dengan bukti dan fakta, baik ketika proses siasatan atau ketika di mahkamah nanti.


Anak ulama, menantu ulama, bahkan ulama sendiri pun tidak autamatik terlindung daripada melakukan dosa, maksiat serta kesalahan. – ShahbudinHusin 27/09/2023.


https://shahbudindotcom.net/#google_vignette