NOKHTAHKAN KEMARAAN GELOMBANG HIJAU DI PRK DUN PELANGAI





Gelombang hijau yang menerjang seluruh kawasan Melayu di Semenanjung Malaysia berjaya disekat di Johor dengan kekalahan PN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Tiba giliran gelombang sama yang banyak merosakkan mental dan spiritual orang Melayu Pahang disekat di PRK DUN Pelangai.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata demikian dalam majlis pengumuman calon di Dewan Majlis Daerah Bentong, malam tadi.

“PRK Pelangai amat penting bagi kita. Walaupun di atas kertas kita nampak cantik, majoriti Allahyarham Datuk Seri Johari 4,000 lebih, pengundi ada 16,456, ada 9 PDM, 12 cawangan (UMNO), ada 3 kawasan Felda, lebih kurnag 50% daripada pengundi adalah dari Felda.

“(Namun) kita tidak boleh ambil kira angka di atas kertas. Atas kertas 4,000 (ahli UMNO) campur 2,000 dari Amanah atau PH, ada 6,000. Ia tidak jadi begitu.

“Ini disebabkan Pilihan Raya Negeri baru baru ini terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah jelas menunjukkan ada perubahan di kalangan orang Melayu, terdapat kekurangan undi. Ini dikaitkan dengan gelombang hijau,” katanya di hadapan kira kira 1,000 hadirin dan para pimpinan dari BN dan PH.

Sehubungan itu, Wan Rosdy mengimbau sejarah PRK Cameron Highlands, Pahang pada 2019 lalu yang menjadi titik mula BN menang dan kemudiannya mencatat beberapa kemenangan dalam PRK berikutnya, perlu berlaku sekali lagi di Pelangai.

Tegas beliau, gelombang hijau mesti dinokhtahkan kerana DUN Pelangai dikepung oleh kawasan parlimen Temerloh, Maran dan beberapa lagi yang jatuh ke tangan PN dalam Pilihan Raya Umum 2022 lalu.

“Pada kali ini saya menyeru kepada semua jentera parti, ahli ahli parti, supaya kita nokhtahkan kemaraan gelombang hijau (di Pahang) bermula di DUN Pelangai.

“Ahli UMNO ada 3,040 di Pelangai, saya harap kita dapat keluarkan. Tidak mungkin 100% tetapi harap dapat keluar 90% paling kurang. Kalau boleh yang putih yang bukan ahli UMNO kita keluarkan seramai mungkin,” katanya.

Pada majlis itu Wan Rosdy mengumumkan Datuk Amizar Abu Adam sebagai calon BN di DUN Pelangai

Majlis malam tadi turut menyaksikan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu turun padang bagi mengotakan janji untuk membalas budi jentera UMNO membantu di dua PRK Johor yang dimenangi oleh Amanah awal bulan ini.

Untuk rekod, calon BN DUN Pelangai Datuk Amizar pernah bertanding di kerusi DUN Ketari pada PRU 15 lalu.

PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Oktober ini ekoran kematian Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas berhampiran bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Allahyarham Johari sebelum ini menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahmad.